DOHA: Kesatuan Ulama Muslim Sedunia mengeluarkan sebuah fatwa yang menegaskan kewajipan umat Islam untuk berjihad menentang penjajahan Israel di Palestin.
Menurut Presidennya, Sheikh Prof Dr Ali Al Qaradaghi, fatwa itu dikeluarkan berikutan penjajahan berterusan oleh Israel di Gaza dan pengkhianatan terhadap perjanjian gencatan senjata telah dimeterai.
Beliau berkata, fatwa itu menggariskan setiap Muslim yang berkemampuan mempunyai tanggungjawab untuk terlibat dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis.
“Kewajipan berjihad dengan senjata menentang penjajahan di Palestin adalah tanggungjawab setiap Muslim yang berkemampuan dalam dunia Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru negara-negara Islam untuk segera campur tangan ketenteraan bagi melindungi Palestin dan menghentikan serangan Zionis yang berterusan.
“Intipati utama fatwa tersebut termasuklah kewajipan campur tangan ketenteraan secara serta-merta oleh negara-negara Arab dan Islam. Kewajipan untuk mengepung musuh Zionis yang mendiami secara darat, laut dan udara.
“Termasuk laluan air, selat dan seluruh ruang udara di negara-negara Arab dan Islam. Memberikan sokongan ketenteraan, kewangan, politik dan hak kepada pergerakan perlawanan adalah wajib secara syarak.
“Menubuhkan pakatan ketenteraan Islam untuk melindungi ummah dan menangkis penceroboh yang merupakan kewajipan syarak yang sudah mendesak,” katanya.
Selain itu, ia juga menggariskan kewajipan untuk menyokong pengharaman normalisasi dengan musuh Zionis, serta mengharamkan penyediaan petroleum dan gas kepada entiti Zionis.
“Mengkaji semula perjanjian damai yang telah ditandatangani oleh beberapa negara Arab dengan entiti penjajah. Kewajipan jihad kewangan untuk menyokong saudara-saudara kita di Gaza dan mempercepatkan pembukaan laluan sempadan,” katanya.
Beliau turut mengajak komuniti Muslim di Amerika Syarikat untuk mendesak Trump dan pemerintahannya memenuhi janji pilihan raya mereka untuk menghentikan pencerobohan dan mewujudkan kedamaian. – HARAKAHDAILY 7/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!