Petaling Jaya: Ahli ekonomi menggesa kerajaan meneruskan usaha mengukuhkan fiskal negara bagi memastikan kewangan negara terus sihat untuk kelangsungan pemberian bantuan.
Selain itu, langkah itu juga penting sebagai persediaan berdepan kesan perang tarif global.
Bercakap kepada FMT, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School memberi amaran tindakan melengahkan langkah seperti subsidi bersasar boleh merugikan untuk jangka panjang terutama dalam menambah hasil.
Menurutnya, subsidi bersasar RON95 jika dilaksanakan mampu menjimatkan sekurang-kurangnya RM8 bilion setahun selain mencegah ketirisan termasuk dimanfaatkan golongan tidak layak seperti warga asing serta individu kaya.
“Apabila subsidi bersasar dilaksanakan maka kerajaan beri jaminan sebahagian besar pengguna kekal menikmatinya, 15 peratus tidak lagi terima dan walaupun peratusan itu kecil tetapi penjimatannya boleh menjangkau RM8 bilion atau lebih.
“Itu boleh digunakan untuk memastikan pengurusan fiskal lebih bermanfaat kepada golongan memerlukan, termasuk tingkatkan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Jika dilaksanakan dalam masa terdekat, penjimatan itu juga boleh digunakan untuk bantu golongan terkesan akibat situasi geopolitik sekarang seperti perang tarif,” katanya mengaitkan situasi pertikaian antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.
Sebelum ini, kerajaan mengubah pendekatan subsidi pukal kepada bersasar untuk mengurus perbelanjaan secara berhemah selain mengukuhkan fiskal negara.
Pada Jun tahun lalu, subsidi bersasar diesel dilaksanakan di Semenanjung Malaysia yang menurut Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan langkah itu mampu menjimatkan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion, lebih besar berbanding RM4 bilion diunjurkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan tahun ini.
Namun beliau menekankan 85peratus rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan langkah terbabit.
Sasar kurang defisit perbelanjaan (subsidi)
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur pula berkata, rasionalisasi RON95 perlu dilakukan segera berikutan subsidi bahan api menjadi perbelanjaan terbesar ditanggung kerajaan sehingga melebihi belanjawan pembangunan negara.
Menurutnya, jika subsidi bersasar terus dilengahkan, sasaran kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.5 peratus menjelang 2027 mungkin sukar dicapai, sekali gus menjejaskan sumber kewangan negara untuk jangka panjang.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 mungkin memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi domestik untuk tempoh satu atau dua tahun namun kesan baik akan dirasai untuk tempoh panjang.
“Kewangan kerajaan boleh disusun semula dalam jangka masa pendek untuk mendapatkan kebaikan jangka masa panjang yang lebih makmur kepada negara dan rakyat.
“Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian,” katanya yang menjangkakan kadar inflasi akan meningkat bagi barangan dan perkhidmatan dalam tempoh awal pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berpendapat kerajaan wajar mengumumkan mekanisme pelaksanaannya lebih awal supaya rakyat yang terkesan dapat membuat persiapan.
“Pelaksanaan RON95 sememangnya dinantikan terutama mekanisme yang akan digunakan seperti penggunaan MyKad dan bagaimana pula penguatkuasaan di stesen minyak nanti.
“Kerana ia begitu mustahak kepada perbelanjaan kehidupan seharian mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd