PERTUMBUHAN ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh tahun ini disokong oleh aliran pelaburan asing langsung (FDI), pelaburan domestik (DDI) serta perbelanjaan awam yang terus rancak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini yang mencatat pertumbuhan 5.4 peratus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia masih berada pada tahap tinggi.
Menurutnya, kadar itu juga mengatasi unjuran awal sebanyak 5.3 peratus, sekali gus mencerminkan asas ekonomi negara yang masih kukuh.
“Kita melihat FDI yang masuk mula menyumbang kepada pertumbuhan KDNK manakala pelaburan domestik juga terus berkembang.
“Pada masa sama, perbelanjaan awam masih kuat dan ini menjadi antara ciri unik ekonomi Malaysia ketika ini,” katanya selepas membuat lawatan ke Projek Intel Pelican di Bayan Lepas, George Town pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan menerusi kerangka Ekonomi Madani sedang memastikan semua enjin pertumbuhan ekonomi bergerak lancar bagi mengekalkan momentum pelaburan ke dalam negara.
Katanya, selain menarik pelabur asing, kerajaan turut memberi penekanan terhadap penglibatan pelabur domestik termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“GLIC dan GLC juga semakin aktif melabur dalam negara kerana mereka melihat banyak peluang baharu yang boleh diterokai di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha meningkatkan kadar gaji dan pendapatan rakyat turut membantu merangsang perbelanjaan domestik.
Menurutnya, kenaikan gaji penjawat awam, pelaksanaan gaji minimum serta peralihan beberapa GLC dan GLIC ke arah konsep ‘living wage’ memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
“Ia membuka ruang kepada peningkatan perbelanjaan masyarakat dan akhirnya merancakkan lagi ekonomi domestik,” katanya.
Amir Hamzah turut optimis sektor kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data akan terus menjadi pemacu baharu ekonomi negara khususnya di wilayah utara yang memiliki ekosistem industri kukuh.
“Fokus kerajaan sekarang ialah memperkukuh ekosistem sedia ada, menarik lebih ramai pelabur, menjana pekerjaan baharu dan memastikan pelaburan yang masuk mampu membantu pertumbuhan Malaysia pada masa depan,” katanya.



