London: Khabib Nurmagomedov membalas semula serangan Conor McGregor ketika kedua-duanya meneruskan perseteruan lama mereka dalam UFC di media sosial.
Segalanya bermula dengan insiden panas, termasuk serangan McGregor dan rakan-rakannya terhadap sebuah bas UFC selepas Khabib bertelagah dengan bekas rakan sepasukan, Artem Lobov, sebelum kedua-dua bintang itu bertemu di UFC 229 pada 2018.
Dalam pertarungan itu, Khabib yang bersara dengan rekod tanpa kalah pada 2020, memaksa McGregor menyerah kalah pada pusingan keempat melalui teknik ‘neck crank’, sebelum kekecohan besar tercetus membabitkan kedua-dua kem. Insiden itu membawa kepada denda dan penggantungan.
Sejak itu, kedua-duanya tidak pernah berdamai, dengan Khabib merasakan McGregor sudah melampaui batas apabila menghina keluarga dan agamanya.
Tujuh tahun selepas kontroversi berkenaan, Khabib dan McGregor kembali berbalas sindiran di media sosial.
Khabib, yang kini melatih juara lightweight, Islam Makhachev, aktif di Telegram dan menjual versi digital Papakha iaitu topi bulu tradisi Dagestan yang sering dipakainya ketika timbang berat dan sewaktu memasuki gelanggang sebagai penghormatan kepada budaya asalnya.
Mengumumkan jualan itu di X, Khabib menulis: “Lelongan sudah berakhir dan semua Papakha sudah terjual! Terima kasih kepada semua yang menyertai dan menjadi pemilik hadiah digital yang hebat dan eksklusif ini.”
Namun McGregor tidak berdiam diri, sebaliknya menyindir musuh utamanya itu.
Dalam tweet yang kemudian dipadam, McGregor menulis: “Tiada cara seorang ‘lelaki baik’ seperti Khabib sanggup menggunakan nama bapanya yang sudah meninggal dunia, serta budaya Dagestan, untuk menipu peminatnya.
Khabib tidak mengambil masa lama untuk membalas, menuduh McGregor sebagai seorang penipu.
“Anda akan sentiasa cuba memburukkan nama saya selepas malam di mana anda dihancurkan, tetapi anda tidak akan berjaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




