Khadam ungguli 12 pencalonan FFM 35

Khadam ungguli 12 pencalonan FFM 35

KUALA LUMPUR: Filem Khadam mendahului senarai pencalonan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM 35) apabila berjaya meraih 12 pencalonan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara karya yang mencuri perhatian dalam saingan anugerah berprestij industri perfileman tempatan itu.

Filem terbitan Komet Productions bersama beberapa syarikat produksi lain itu turut mendapat tempat dalam kategori utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik menerusi Shamyl Othman, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Zarra Zhaf) dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Karl’el).

Selain itu, Khadam turut dicalonkan bagi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik dan Poster Terbaik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap pelbagai aspek pembikinan filem berkenaan, merangkumi mutu penceritaan, lakonan serta pencapaian teknikal.

Sementara itu, beberapa filem lain yang dipromosikan dan diedarkan Primeworks Studios turut berjaya melangkah ke kelompok lima calon terbaik (Top 5) dalam pelbagai kategori.

Filem Gayong 2 tercalon bagi kategori Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik serta Penataan Seni Terbaik.

Filem Qifarah dan Polong pula masing-masing meraih pencalonan dalam kategori Tatarias/Solekan Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Pelakon Mimi Lana turut tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Polong.

Senarai rasmi Top 5 FFM 35 diumumkan pada 10 Oktober lalu sempena Majlis Perasmian dan Pengumuman Top 5 FFM 35 di Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Damansara. Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Pemenang kategori Filem Terbaik FFM 35 bakal menerima geran bernilai RM1 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), sebagai antara inisiatif bagi menyokong pembangunan industri perfileman tempatan.

Pencalonan tahun ini hadir ketika industri filem tempatan menunjukkan perkembangan positif, dengan enam filem tempatan dilaporkan berjaya meraih kutipan melebihi RM10 juta sepanjang tahun ini.

Perkembangan itu turut menjadi dorongan kepada penggiat industri untuk terus memperkukuh mutu penerbitan, pengedaran dan pembangunan karya tempatan agar mampu bersaing serta menarik lebih ramai penonton ke pawagam.

Mengangkat tema Spektrum Sinema, FFM 35 menerima penyertaan sebanyak 73 karya, merangkumi 39 filem cereka, 17 dokumentari dan 17 filem pendek.

Malam kemuncak FFM 35 dijadual berlangsung secara langsung dari Istana Budaya pada 21 November ini, bermula pukul 8.30 malam.

Scroll to Top