Penyanyi popular, Khai Bahar mengakui lagu terbaharunya berjudul Beri Sedikit Waktu amat dekat di hatinya apabila ia cukup menggambarkan fasa duka kehilangan insan tersayang yang dilaluinya sebelum ini.
Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, dia menerima lagu ciptaan Adi Pawana dan Rudy Nastia itu tanpa berfikir panjang kerana bait liriknya terus menyentuh emosi peribadi.
“Saya terus setuju untuk rakam lagu ini sebaik sahaja mendengarnya. Ia benar-benar menyentuh hati saya… lebih-lebih lagi selepas kehilangan ibu tercinta. Bukan mudah untuk melalui fasa itu,” katanya.
Lagu balada yang diterbitkan Sony Music Malaysia itu bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi saluran penyembuhan buat mereka yang sedang berdepan tekanan jiwa atau berperang dengan perasaan sendiri.
Menerusi baris lirik seperti “Kau bukannya menyerah, hanya bersandar seketika”, Khai berkata lagu itu memberi ruang buat pendengar untuk berehat, menangis dan menerima hakikat bahawa tidak mengapa untuk tidak selalu kuat.
“Saya percaya ramai yang pernah rasa ‘down’, tapi sukar nak luahkan. Lagu ini seperti pelukan, beri ruang untuk kita melepaskan dan akhirnya sembuh, perlahan-lahan,” ujarnya.
Rakaman lagu yang dilakukan di Mixbro Records, Cybersouth itu hanya mengambil masa sekitar dua jam, namun sarat dengan beban emosi buat Khai.
“Saya beberapa kali terpaksa berhenti sebab terlalu sebak. Tapi saya tahu, saya perlu nyanyikan lagu ini sebab saya yakin ramai yang perlukan lagu seperti ini sekarang,” katanya lagi.
Menyifatkan ‘Beri Sedikit Waktu’ sebagai hadiah buat mereka yang sedang bergelut dalam senyap, Khai turut mendedikasikan lagu itu sebagai penghormatan kepada arwah ibunya serta semua yang pernah melalui detik kehilangan, tidak kira insan tersayang, harapan atau semangat diri.
“Saya tahu ada orang yang senyum di luar, tapi hancur di dalam. Lagu ini untuk mereka. Kalau ia boleh beri sedikit kelegaan, itu sudah cukup untuk saya,” katanya jujur.
Dengan susunan muzik minimalis dan nyanyian yang disampaikan secara bersahaja, ‘Beri Sedikit Waktu’ mengetengahkan elemen penyembuhan dan empati dalam cara paling tulus.
“Saya nyanyikan lagu ini dengan penuh rasa, bukan teknikal. Bila dari hati, saya percaya pendengar akan rasa benda yang sama,” jelasnya.
Lagu Beri Sedikit Waktu kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music.