PETALING JAYA: Beregu remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai melakar kejutan besar dalam penampilan sulung mereka pada Kejohanan Badminton All England, selepas membenam pasangan No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di pusingan awal, hari ini.
Bekas juara remaja dunia yang menghuni ranking ke-33 dunia itu meraih kemenangan straight set 23-21, 21-12 dalam masa 42 minit ke atas wakil India tersebut di Utilita Arena Birmingham, England.
Khai-Xing yang belum pernah bertemu Rankireddy-Shetty dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, kini mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas bekas gandingan No. 1 dunia itu.
Khai Xing berkata, ini merupakan kemenangan sulung mereka ke atas beregu handalan India itu pada penampilan pertama di All England.
“Pertama sekali, saya rasa sangat gembira kerana dapat memenangi perlawanan ini. Ini adalah All England pertama kami, jadi kami cuma menikmati setiap perlawanan,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Ketika ditanya mengenai persembahan mereka terutama dalam set kedua, anak jati Kelantan itu berkata, dia cuma fokus kepada pertemuan tersebut dan enggan terlalu banyak berfikir dalam usaha memberikan aksi terbaik menentang Rankireddy-Shetty.
Aaron pula memberitahu, dia serta Khai Xing tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada penampilan mereka di All England dan cuma bermain seperti apa yang telah dirancang dalam latihan.
Pemain berusia 19 tahun itu mengakui mereka turut menerima sokongan dan nasihat daripada beregu-beregu senior sebelum tampil di All England.
“Mereka cuma minta kami lakukan yang terbaik dan bermain mengikut gaya permainan kami sendiri. Tiada tekanan. Ya, cuma perlu rasa gembira di dalam gelanggang,” ujarnya.
Esok, Khai Xing-Aaron dijangka berdepan sama ada beregu No. 11 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi dari China atau pasangan Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan yang menghuni ranking ke-37 dunia. – UTUSAN




