latifah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh terkenal yang juga usahawan, Khairul Aming hari ini mengumumkan akan melancarkan produk terbaharunya, Sambal Nyet Bilis di puncak menara ikonik Merdeka 118, Jumaat ini.
Majlis itu dijadual berlangsung secara penstriman langsung untuk disaksikan rakyat Malaysia dan bakal mengangkat konsep kemerdekaan bagi memperingati jasa pejuang yang berusaha keras membebaskan negara daripada penjajahan kuasa asing.
Menerusi video eksklusif di media sosial, anak muda berusia 33 tahun itu atau lebih dikenali sebagai KA memulakan perkongsian dengan bercerita perjalanan hidupnya dalam dunia perniagaan yang penuh liku.
“Enam tahun lepas saya jual botol sambal yang pertama dekat satu kedai runcit, kecil sahaja kedai di tepi jalan. KA sendiri takut nak mencuba kerana risau dihakimi orang ramai, gagal dan takut nak ada impian yang besar.
“Tapi KA tetap teruskan hari demi hari walaupun penat. Hasil sokongan anda semua, sambal kedua akan dilancarkan dari mercu tanda kebanggaan kita semua.
“Majlis pelancaran ini akan jadi livestream terbesar pernah KA buat dan banyak persediaan perlu dibuat (untuk merealisasikannya),” katanya.
Beliau turut memberitahu, pemilihan Merdeka 118 sebagai lokasi bagi pelancaran produknya selari dengan ‘mood’ merdeka yang bakal disambut 31 Ogos ini.
Katanya, ia bukan sahaja meraikan kejayaannya tetapi semua usahawan tempatan yang berusaha keras dan tidak pernah mengalah untuk terus memberikan yang terbaik dan membanggakan negara menerusi pelbagai produk dengan wajah Malaysia.
“Majlis ini nanti akan berlangsung selama tiga jam dan sejurus Sambal Nyet Bilis ‘sold out’ (habis dijual), KA akan sambung dengan jualan produk lokal untuk meraikan jenama tempatan dan bantu peniaga kecil.
“Kepada anak muda di luar sana anda adalah pelapis negara kita yang seterusnya, teruskan belajar, letak impian besar dalam hidup dan berusaha bersungguh-sungguh, kalau gagal sekalipun dari situ kita belajar untuk jadi lebih baik.
“KA mohon doakan majlis nanti berjalan lancar dan dapat sokongan orang ramai,” katanya yang turut berkongsi video persiapan yang sedang giat dijalankan bagi majlis pelancaran produk itu.
Dalam video pendek terbabit, KA yang lengkap dengan persalinan baju Melayu turut berkongsi visual berada di puncak tertinggi Merdeka 118 sambil memegang produk Sambal Nyet Bilis keluarannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




