Khairulnizam pakai pakaian khas

sukhairi@bh.com.my

PUTRAJAYA: Pelayar negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Khairulnizam Mohd Afendy bakal menggunakan pakaian khas yang dicipta mengikut cita rasanya pada temasya berprestij itu.

Buat masa ini, pakaian hasil inisiatif Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Sains dan Rekreasi dan Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama rakan strategik industri, Fitech Asia itu sudah memasuki sampel kedua dan ia dijangka boleh siap sepenuhnya sebelum temasya berprestij itu membuka tirainya secara rasmi, 23 Julai ini.

“Kita tahu sukan pelayaran ini mempunyai banyak faktor,” kata Khairulnizam kepada media selepas majlis penyerahan sampel kedua pakaian pelayaran kepada pelayar berusia 27 tahun itu di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hari ini.

“Pakaian ini membantu daripada segi keselesaan ketika belayar. Kadang-kadang pakaian itu terlalu labuh dan seluar melondeh, jadi perkara seperti ini kita cuba elakkan. Kita cuba pakaian ini tidak akan menimbulkan masalah ketika belayar.

“Pakaian adalah satu keutamaan dan cuaca di Tokyo nanti dijangka sangat panas. Saya sudah menyertai percubaan venue (pertandingan Olimpik) pada 2019 yang sama tarikh dengan apa yang dijadualkan (tahun ini) dan suhu adalah sekitar 40 darjah celsius.

“Jadi, saya akan cuba dapatkan satu material yang baik, tak mahu dehidrasi yang teruk dan cuba untuk mendapatkan (pakaian) yang dapat menyejukkan badan dan mengurangkan pengeluaran peluh daripada badan. Ini kerana dalam sehari, mungkin dalam empat atau lima jam berada di laut,” katanya.

Katanya, ketika perlumbaan juga tidak sempat untuk minum air sekali gus berharap pakaian yang dihasilkan boleh menjadi sesuatu yang kontra untuk tidak mengeluarkan peluh dengan terlalu banyak dan tidak menjadikan terlalu dehidrasi.

Projek yang mula dilakukan pada Disember 2019 ini turut mengenalpasti 10 jenis fabrik selepas kajian dilakukan bersama Institut Penyelidikan Saings dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Turut terbabit dalam projek ini adalah pelayar negara, Juni Karimah yang turut layak beraksi di Tokyo nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd