harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan dakwaannya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyembunyikan Titah Adendum.
Beliau berkata, laporan polis terhadapnya dibuat susulan kenyataan yang dibuat menerusi episod 138 program podcast, Keluar Sekejap.
“Saya akan beri keterangan pada polis sebab dah ada laporan polis dan saya bagi kerjasama penuh,” katanya ketika ditemui di luar studionya, di Bukit Damansara, di sini, hari ini.
Sebelum itu, tiga anggota polis dilihat hadir ke studio berkenaan jam 4.40 petang disusuli Khairy Jamaluddin yang tiba di lokasi pada 5 petang.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, pihaknya menerima dua laporan pada Jumaat lalu dan satu kertas siasatan dibuka berhubung isu berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




