KUALA LUMPUR: Makluman melalui khidmat pesanan ringkas sudah dihantar kepada 1.4 juta pengguna yang dikenal pasti tidak melengkapkan pendaftaran vaksinasi mereka.
Makluman itu dibuat untuk meminta pengguna berkenaan melengkapkan penilaian vaksinasi bagi membolehkan maklumat janji temu diberikan kepada mereka.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata aplikasi MySejahtera turut dilengkapi rekod pendaftaran pertama vaksinasi setiap pengguna bagi mengatasi pendaftaran berulang.
Selain itu, katanya, ‘user interface’ baharu yang dikeluarkan Sabtu lalu, menunjukkan tarikh pengguna membuat pendaftaran kali pertama.
“Bagi program kesedaran melawan kumpulan antivaksin dan memberi keyakinan kepada orang ramai, ini sememangnya telah banyak kali dilakukan bukan sahaja oleh saya, malah juga banyak pihak lain.
“Siri penerangan telah dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, cetak mahu pun sosial.
“Program bantuan ‘outreach’ juga ketika ini berjalan di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membangkitkan beberapa persoalan mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Mengenai perolehan vaksin, Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, kerajaan masih terikat dengan ‘non-disclosure agreement’ (perjanjian kerahsiaan) dimeterai bersama syarikat pengeluar.
Bagaimanapun, katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pihaknya sudah membentangkan maklumat serta perincian lanjut mengenainya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, pada 5 Januari lalu.
“Butiran dan kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC. Terdapat juga wakil PKR dalam PAC.
“PAC menerusi kenyataan Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor dari DAP berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut menafikan andaian Anwar berhubung kerajaan tidak memberi perhatian kepada vaksin keluaran Russia, Sputnik V, selain menjelaskan ia terdapat dalam portfolio pembelian vaksin COVID-19.
Katanya, vaksin Sputnik V ketika ini dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.
Beliau berkata, Anwar turut membangkitkan persoalan mengenai pembabitan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin.
“Kementerian telah membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan bagi penyakit COVID-19 menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik, iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Kita juga akui Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin. Justeru, dalam rundingan pembelian vaksin COVID-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa depan.
“Maklumat mengenai nilai tambah ini dimuatkan dalam buku panduan PICK yang boleh dimuat turun di laman web www.vaksincovid.gov.my.,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai program itu akan dibentangkan pada sesi taklimat kepada Ahli Parlimen yang akan diadakan nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd