khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan akan memastikan mana-mana pihak yang bersalah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diheret ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya.
Naib Presiden UMNO itu mengakui, sejak akhir-akhir ini, kepercayaan rakyat terhadap ATM sudah terjejas dan terhakis apabila berlakunya siasatan serta penahanan terhadap beberapa pegawai ATM.
Menurutnya, siasatan dan penahanannya itu mempunyai kaitan berkait integriti, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, budaya hedonism dan unsur kemungkaran.
“Mewakili UMNO kita bertekad menegaskan akan pulihkan balik kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM.
“Antaranya melalui usaha membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang terdapat dalam ATM. Sesiapa sahaja yang bersalah, kita akan pastikan mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya.
“Mereka yang mencemar nama baik ATM bukan cerminan akhlak dan kewibawaan ATM,” katanya semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mohamed Khaled berkata, masih ada ratusan ribu anggota ATM yang berintegriti, ikhlas berkhidmat serta sedia berkorban jiwa dan raga.
“Jadi kepada rakyat sekalian tolonglah berlaku adil dan munasabah terhadap ATM. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
“Janganlah hanya kerana segelintir sahaja, semua dalam ATM dianggap sebegitu dipandang serong,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menegaskan UMNO bukan boneka politik mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau berkata, UMNO adalah entiti politik yang mandiri untuk orang Melayu dan negara ini.
Justeru itu, beliau berharap UMNO terus disokong terutama dalam kalangan orang Melayu supaya dapat membangunkan kekuatan tersendiri dan teguh berdiri di atas kaki sendiri.
“Hanya dengan kepercayaan orang Melayu, UMNO akan terus menjadi wakil yang berkesan dalam percaturan politik negara kita.
“Hanya bila orang Melayu mempercayai orang Melayu, kita akan dapat berprestasi dengan lebih baik dalam kerajaan. Yakinlah UMNO tidak akan menjadi boneka politik sesiapa sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




