am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendesak pempengaruh dan pelakon, Rafidah Ibrahim supaya tampil menerima surat saman berhubung dakwaan fitnah terhadapnya berkaitan isu tanah rizab Melayu di Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru.
Khalid berkata, surat saman sudah disediakan oleh peguamnya, namun selepas tempoh 14 hari surat tuntutan (LOD) yang dihantar tiada sebarang maklum balas daripada Rafidah.
“Masalahnya sekarang, kami tak dapat cari dia. Dia pejuang yang suka ghaib.
“Jadi saya desak supaya dia tampil, tunjukkan keberanian untuk terima surat saman. Jangan hanya berjuang dalam TikTok saja,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Pagi bersama warga Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini, hari ini.
Khalid berkata, kenyataan Rafidah yang mendakwanya berniat memansuhkan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan tanah rizab Melayu dianggap satu tuduhan berat dan tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, pembangunan yang dirancang di Kampung Baru dan Sungai Baru bertujuan meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan orang Melayu.
“Kalau dibangunkan, kita boleh tambah bilangan rumah untuk orang Melayu. Contohnya dengan nisbah satu kepada 10, boleh bina 5,000 unit rumah milik Melayu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti alamat tempat tinggal Rafidah dan sedang berusaha untuk mengatur janji temu bagi menyerahkan saman secara sah.
“Kami mahu serah depan-depan, ambil gambar sekali, baru nampak ‘hero’.
“Saman mahkamah tak boleh serah sembarangan, mesti diserah kepada individu terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd