Khalid Samad tuntut RM300,000 dari Rafidah Ibrahim, dakwa difitnah isu Kampung Sg Baru

Khalid Samad tuntut RM300,000 dari Rafidah Ibrahim, dakwa difitnah isu Kampung Sg Baru

Isu panas pembangunan Kampung Sungai Baru terus jadi perhatian apabila Khalid Samad tuntut RM300,000 sebagai ganti rugi dan permohonan maaf daripada pempengaruh, Rafidah Ibrahim.

Khalid Samad tuntut permohonan maaf & ganti rugi

Memetik laporan dari Malaysiakini, Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa Rafidah telah membuat tuduhan fitnah menerusi media sosial yang tidak kena mengena dengan isu sebenar.

“Saya saman dia bukan kerana dia nak perjuangkan hak rakyat, tetapi kerana dia fitnah saya dengan tuduhan-tuduhan yang tak ada kena mengena pun dengan isu yang sedang dibahaskan, seperti soal pampasan atau status tanah itu,” tulisnya.

Khalid Samad tuntut

Khalid Samad tuntut Rafidah Ibrahim sebab dakwa sebar fitnah

Menurut Khalid, surat tuntutan (LOD) telah diserahkan kepada Rafidah melalui alamat rumah sewanya.

Tuntutan itu dibuat selepas Rafidah didakwa menuduh beliau mahu memansuhkan status rizab Melayu di seluruh Kampung Baru, bukan hanya di Kampung Sungai Baru.

“Tak tahu macam mana dia melencong terus kepada tuduhan bahawa saya nak mansuhkan (status) rezab Melayu di seluruh kawasan Kampung Baru, bukan sekadar Kampung Sungai Baru.
“Ia merupakan satu keterlanjuran dan saya buat keputusan untuk saman dia,” katanya.

Dakwaan Rafidah tidak bertanggungjawab

Beliau turut berkata, hasrat untuk memfailkan tuntutan itu telah dinyatakan pada 17 April lalu, dan tindakan undang-undang diambil kerana dakwaan tersebut dianggap liar dan tidak bertanggungjawab.

Antara lain, Rafidah turut mendakwa Khalid mahu mansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS), sekaligus menghapuskan tanah rizab Melayu di kawasan Kampung Baru.

Artikel lain: Usahawan minta Rafidah Ibrahim bersikap jujur, jaga tutur kata & jangan tabur fitnah!

Difahamkan, menerusi kandungan LOD oleh Tetuan Hisham Fauzi & Associates, Rafidah diberi tempoh 14 hari untuk beri respons.

Turut ditegaskan, komen-komen negatif daripada pengguna lain di TikTok juga dianggap tanggungjawab Rafidah, kerana dia membuka ruang kepada penyebaran maklumat yang didakwa tidak benar.

Sumber: Malaysiakini (N Faizal Ghazali)

Scroll to Top