
Khamenei, yang memimpin negara itu selama 36 tahun, terbunuh pada usia 86 tahun dalam siri serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel pada Sabtu lalu. Foto fail Reuters
TEHERAN – Pemimpin Agung Iran yang terbunuh dalam serangan udara Israel, Ayatollah Ali Khamenei, akan dikebumikan di kota suci Mashhad, lapor agensi berita Fars pada Selasa.
Khamenei, yang memimpin negara itu selama 36 tahun, terbunuh pada usia 86 tahun dalam siri serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel pada Sabtu lalu.
Beliau berasal dari Mashhad, bandar kedua terbesar di Iran, tempat ayahnya dikebumikan di makam Imam Reza.
Sebelum majlis pengebumian berlangsung, satu “upacara perpisahan besar” akan diadakan di Teheran, menurut Pengawal Revolusi di akaun Telegram mereka.
Bagaimanapun, tiada tarikh pengebumian yang diumumkan.
Selepas kematian Khamenei, kuasa diserahkan kepada sebuah majlis sementara yang terdiri daripada tiga anggota sehingga Majlis Pakar memilih penggantinya.
Majlis itu merangkumi Presiden, Ketua Kehakiman dan seorang ahli Fiqh dari Majlis Penjaga, badan yang mengawasi perundangan dan menapis calon pilihan raya.
Fars, memetik seorang pegawai yang mengetahui proses tersebut, melaporkan bahawa “atas sebab keselamatan”, mesyuarat terakhir majlis itu mungkin ditangguhkan sehingga selepas pengebumian Khamenei.
Media Iran melaporkan bahawa bangunan yang menempatkan 88 anggota badan itu di kota suci Qom, selatan Teheran, terkena serangan AS-Israel pada Selasa.
Ibu pejabat utamanya di ibu kota Iran juga diserang sehari sebelumnya. – Awani
Ringkasan AI
- Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan udara Israel, akan dikebumikan di kota suci Mashhad
- Khamenei telah memimpin Iran selama 36 tahun dan meninggal pada usia 86 tahun akibat serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel
- Upacara perpisahan besar akan diadakan di Teheran sebelum pengebumian
- Kuasa setelah kematian Khamenei diserahkan kepada majlis sementara yang terdiri daripada tiga anggota
- Majlis sementara itu merangkumi Presiden, Ketua Kehakiman, dan seorang ahli Fiqh dari Majlis Penjaga



