Washington: Israel dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan menjadualkan serangan ke atas Iran bertepatan dengan pertemuan diadakan oleh Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, bersama pembantu kanannya.
Perkara itu didedahkan dua sumber AS, termasuk dua pegawai negara berkenaan yang mengetahui hal terbabit.
Israel mendakwa Khamenei terbunuh bersama pegawai kanan termasuk Ali Shamkhani dan Mohammad Pakpour iaitu Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Menurut dua sumber Iran, Khamenei mengadakan pertemuan dengan Shamkhani dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Ali Larijani, semalam di lokasi selamat sejurus sebelum serangan bermula.
Seorang pegawai kanan Israel pula mendakwa mereka menemui mayat Khamenei.
Presiden AS, Donald Trump, dipetik sebagai berkata pemimpin tertinggi Iran itu terbunuh selepas risikan mengesan pergerakannya.
“Beliau tidak boleh elak sistem risikan dan penjejakan sangat canggih kami. Dengan kerjasama rapat bersama Israel, tiada apa yang beliau atau pemimpin lain yang terbunuh bersamanya boleh lakukan,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Serangan ketenteraan AS dan Israel di seluruh Iran mengheret Asia Barat ke kancah konflik baharu yang tidak dapat diramal.
Ia menyaksikan Iran melancarkan serangan balas terhadap Israel termasuk negara Teluk berdekatan.
Dua sumber AS dan pegawai AS yang enggan dinamakan mendakwa pertemuan Khamenei dengan penasihat kanan telah memulakan operasi udara serta laut Israel-AS.
Pegawai AS itu memberitahu serangan perlu menyasarkan Khamenei terlebih dahulu untuk mengekalkan elemen kejutan, bagi mengelak kemungkinan pemimpin Iran itu melarikan diri.
Seorang sumber AS pula mendedahkan rancangan bahawa Khamenei pada asalnya dijangka mengadakan pertemuan di Tehran, malam tadi
Risikan Israel mengesan pertemuan itu berlangsung pada pagi semalam, memaksa serangan perlu diawalkan.
Lokasi pertemuan tidak didedahkan. Namun, terdapat dakwaan kawasan keselamatan tinggi di Tehran diserang pagi semalam. Imej yang disemak REUTERS mengesahkan ia sudah musnah.
Bagaimanapun, kesan atau bukti kematian Khamenei masih belum dapat dilihat.
Menerusi penilaian pra-serangan, dua sumber mendakwa Agensi Perisikan Pusat (CIA) merumuskan kedudukan Khamenei boleh digantikan oleh seorang anggota tegar IRGC, merujuk pemimpin baharu dijangka lebih ganas dan lagi tegas. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




