syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kharisma Music menuntut baki sebanyak RM77,000 daripada penyanyi, Aisha Retno yang dipinjam penyanyi itu ketika bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), Mac lalu.
Penyanyi yang juga penganjur dari Kharisma Music, Yuka Kharisma berkata, jumlah itu adalah baki daripada anggaran RM83,000 yang dipinjamkan kepada penyanyi lagu Sutera itu untuk digunakan dalam pertandingan itu.
“Kami menuntut anggaran RM83,000, ditolak RM6,000 jumlah yang sudah dia bayar. Jadi, bakinya RM77,000,” katanya.
Yuka berkata, pinjaman itu pada awalnya dirancang untuk dilunaskan melalui penganjuran Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung pada 16 November lalu, tetapi dibatalkan.
“Tak ada tuntutan untuk kerugian lain seperti lokasi acara, iklan dan sebagainya. Malah, kerugian daripada penaja-penaja yang menarik diri juga kami takkan tuntut. Kerugian keseluruhan kira-kira RM150,000.
“Tapi, yang lebih merugikan lagi ialah masa kerana pelaburan itu kami laburkan sejak awal tahun dan benda ini berpanjangan sehingga penghujung tahun. Kami juga sudah adakan beberapa konsert, tapi kami masih rugi,” katanya.
Diminta memperincikan mengenai penajaan dan dana yang diberikan untuk persembahan Aisha di AJL38 itu, Yuka berkata, mereka hanya menaja khidmat sebagai pengarah persembahan.
“Itu yang dijanjikan dan dipersetujui bersama, bahawa dana itu adalah pendahuluan. Namun, khidmat kami sebagai pengarah persembahan di AJL38, memang kami taja.
“Jadi, yang kami taja adalah khidmat kami sebagai pengarah persembahan, bukan wang dana. Wang dana itu adalah pendahuluan dalam bentuk pinjaman,” katanya.
Ditanya mengenai kerugian lain yang terpaksa ditanggung akibat reputasi mereka yang tercalar kerana isu ini, Yuka berkata, banyak pihak terbabit sama.
“Sebenarnya, untuk konsert ini sendiri pun, yang paling tergendala adalah perancangan konsert yang akan datang. Kami pun nak adakan konsert lagi selepas ini dan ini sangat terkesan kerana dari pihak pengurusan di Indonesia pun, nak tahu juga perkembangan isu ini.
“Ada beberapa artis tempatan yang berhubung dengan kami juga. Jadi, saya tak mahulah benda ini menjadi terpalit dengan isu ini. Memang itu terkesan.
“Ada juga beberapa orang yang ingin bekerjasama juga menarik diri. Jadi, kerugian kami sangat besar sebenarnya sebab Kharisma Music ini bukan hanya saya dan suami, Ahmad Jeffny Kamar, tetapi ramai di belakang tabir iaitu lebih daripada 60 orang,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Kharisma Music, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof berkata, tuntutan lain adalah agar pihak Aisha menarik balik kenyataan serta video dan buat permohonan maaf.
“Kalau tidak, itu semua bergantung kepada Kharisma Music sama ada nak teruskan. Setakat ini, surat tuntutan masih belum lagi dikeluarkan. Kami masih memuktamadkan. Ada beberapa tuntutan yang kami belum kemaskan. Sikit masa lagi kami akan hantar,” katanya.
Terdahulu, pada Januari lalu, pihak Kharisma Music dihubungi oleh Aisha Retno Entertainment (ARE) yang memaklumkan bahawa penyanyi itu berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL38, yang berlangsung pada 3 Mac lalu.
Kerana kesuntukan masa mencari dana, pada penghujung Januari lalu, Kharisma Music memberikan pinjaman pendahuluan dalam anggaran RM83,000 kepada Aisha bagi menjayakan persembahannya di AJL38 di samping menaja khidmat sebagai pengarah persembahan.
Kedua-dua pihak juga sudah berbincang dan bersetuju bahawa kaedah pembayaran semula pinjaman pendahuluan itu akan dilakukan melalui penganjuran konsert solo Aisha Retno yang dicadangkan berlangsung pada tarikh pertama iaitu 3 Ogos lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




