Khazanah berguna buat generasi muda

Khazanah berguna buat generasi muda

norhayati_nordin@hmetro.com.my

SELAIN seniman legenda Allahyarham Tan Sri P Ramlee, seorang lagi insan berkaliber industri hiburan di Malaysia adalah pemuzik tersohor dan pencipta lagu ternama iaitu Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.

Meninggal dunia pada usia 92 tahun di kediamannya di Taman Melewar, Gombak pada jam 3.15 petang pada 24 November 2024, pemergian selamanya umpama hilangnya ‘sebutir bintang’ berbakat besar.

Namun, apa yang ditinggalkan kini adalah kenangan indah lagi istimewa dalam legasi muzik Allahyarham menerusi buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr Ahmad Nawab untuk dijadikan bahan rujukan penuntut universiti.

Ternyata banyak ilmu muzik berguna yang akan mengalir kepada generasi muda masa kini untuk dijadikan inspirasi dalam berkarya dengan menghasilkan melodi berkualiti dan lirik menyentuh jiwa.

Anak ke-empat kepada seniman legenda ini iaitu Nasir Khan, 64, mengaku nilai buku yang boleh dilabel sebagai biografi seorang tokoh seni hebat itu adalah sangat besar maknanya buat dia selaku waris.

“Bagi saya, apa yang pasti ia bukan sekadar sebuah buku muzik sahaja, tetapi sebenarnya adalah lipatan sejarah dan amanah. Apapun, saya gembira dan bersyukur sudah buat yang terbaik.

“Ini kerana, impian arwah ayah saya sudah tercapai dan itu yang paling utama. Meskipun Allahyarham tidak sempat melihat hasil akhir buku istimewa ini yang sudah dapat disiapkan, tetapi saya reda dan mampu menarik nafas lega.

“Tujuan saya hanya demi memartabatkan legasi seni ayahanda tersayang. Melihat komitednya arwah dalam kariernya sejak saya dan adik-beradik yang lain masih kecil lagi sehingga kami dewasa, siapa yang tidak kagum?.

“Allahyarham bapa saya seorang seniman sejati. Mahir bermain alat muzik dan berbakat dalam penciptaan lagu sejak zaman P Ramlee. Jadi, bakat dimilikinya memang betul-betul kurniaan daripada Allah,” katanya ditemui baru-baru ini.

Berbicara lanjut, Nasir yang turut berbakat dalam seni memaklumkan dalam buku itu dimuatkan skor muzik serta gambar eksklusif yang menceritakan kisah di sebalik setiap karya pernah dihasilkan Allahyarham.

“Pada saya, tidak mudah juga menyiapkan buku ini kerana cabaran utama adalah memastikan setiap lagu ditranskripsi dengan tepat daripada skor asal. Jadi, proses ini sangat memerlukan bantuan tenaga mahir dalam bidang muzik.

“Bagi memastikan ketepatannya dapat dicapai, harus dilakukan bersama. Syukur Alhamdulillah juga kerana semua nota (muzik), gambar dan rekod yang ada memang arwah simpan dengan sangat baik.

“Justeru, itu yang memudahkan untuk proses mengumpul bahan-bahan dibuat. Akhirnya selepas lapan bulan bertungkus-lumus, buku ini dapat disiapkan juga,” ujarnya.

Lebih istimewa, Nasir memaklumkan tulisan tangan terakhir Allahyarham bapanya sebelum meninggal dunia dapat diabadikan pada kulit buku itu sebagai reka bentuk tajuk utama naskhah.

Nasir menjelaskan lagi, buku itu yang tidak dihasilkan untuk mengaut keuntungan sama sekali tidak dijual melainkan hanya untuk diagih kepada institusi pengajian tinggi (IPT) serta disumbangkan kepada Arkib Negara Malaysia termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bahan rujukan.

Mempunyai 570 halaman di dalam buku ini, dimuatkan sebanyak 600 lagu iaitu 300 untuk jilid satu dan 300 lagi (jilid dua) yang kesemuanya pilihan Nasir daripada koleksi peribadi lagu-lagu nukilan Allahyarham Ahmad Nawab.

Pernah menghasilkan lebih 200 album, arwah Ahmad Nawab juga mempunyai lebih 2,000 lagu popular sekali gus beliau berjaya mengetengahkan banyak bakat penyanyi yang ingin menempa nama bersamanya.

Antara penyanyi pernah menjadi ‘anak didik’ arwah ialah Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Hail Amir, Allahyarham Datuk Nassier Wahab, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan ramai lagi.

Selain itu, Ahmad Nawab juga pernah menaikkan nama penyanyi Ramlah Ram, Datuk Siti Fairuz termasuk bekerjasama dengan artis luar negara dari Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan mendiang Broery Marantika.

Penerbitan buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr Ahmad Nawab ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Komunikasi melalui agensi MyCreative Ventures.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top