Khazanah mempunyai wakil dalam lembaga pengarah FashionValet

Khazanah mempunyai wakil dalam lembaga pengarah FashionValet

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mempunyai wakil dalam lembaga pengarah FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) kerana mempunyai pegangan yang memenuhi tahap dibenarkan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagaimanapun berkata, tiada wakil daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam lembaga pengarah platform e-dagang itu.

Katanya, Khazanah dan PNB juga memahami sifat pelaburan pemula di FashionValet yang mempunyai risiko lebih tinggi berbanding pelaburan biasa.

“Berikutan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masih menyiasat perkara ini dan audit dalaman Khazanah masih berjalan.

“Justeru Khazanah perlu diberikan ruang untuk proses siasatan diselesaikan dan segala dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola Khazanah,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, tindakan Khazanah melabur dalam FashionValet, yang ketika itu adalah platform e-dagang fesyen yang berpotensi adalah sejajar dengan keutamaan kerajaan dalam sektor teknologi.

Katanya, ini kerana ekonomi digital sudah lama menjadi teras penting untuk pertumbuhan Malaysia sejak zaman Koridor Raya Multimedia, dengan subsektor antaranya e-dagang, dompet digital dan platform.

“Kedua-dua syarikat iaitu Khazanah dan PNB faham bahawa sifat pelaburan pemula seperti ini mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding pelaburan biasa, tetapi ia selaras dengan mandat mereka untuk menyokong pelaburan strategik.

“Bagaimanapun, kerajaan teliti dalam penggunaan dana awam dan akan terus memberikan perhatian yang ketat serta memperkukuh tatakelola dan kawalan tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting juga untuk melihat aspek pulangan pelaburan itu dengan perspektif yang lebih menyeluruh.

Katanya, Khazanah ada membuat pelaburan lain termasuk pelaburan peringkat awal yang memberikan pulangan yang positif.

“Salah satunya ialah pelaburan Khazanah dalam perniagaan tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad yang merupakan sebahagian daripada pelaburan modal teroka (VC investment) dalam sektor pertanian.

“Dalam pelaburan Farm Fresh, Khazanah memperoleh pulangan lebih daripada 13 kali ganda, iaitu nilai melebihi RM800 juta.

“Adalah penting supaya Khazanah terus menyokong ekosistem pelaburan tempatan dan pelaburan modal teroka sejajar dengan mandat Ekonomi MADANI,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top