Khazanah perkasa MTC melalui Dana Impak, fokus inovasi dan pembiayaan

Khazanah perkasa MTC melalui Dana Impak, fokus inovasi dan pembiayaan

KHAZANAH Nasional Berhad (Khazanah) menerusi Dana Impak memperkukuh peranannya dalam menyokong syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) melalui pendekatan dua hala membabitkan pembangunan kapasiti dan peluasan akses kepada pertumbuhan modal menerusi strategi pembiayaan serta ekuiti swasta.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak berperanan sebagai pemangkin dan penghubung yang mengenal pasti jurang pasaran, menyediakan modal bagi bidang yang kurang mendapat perhatian pasaran serta melabur dalam bakat tempatan.

Selain itu, Khazanah turut berusaha menarik penyertaan pelabur swasta berdasarkan pendekatan whole-of-nation yang menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan mampan.

“Melalui strategi Advancing Malaysia, tumpuan kami adalah untuk memperkasa MTC bukan sahaja bagi memacu daya saing tetapi juga memperkukuh ketahanan ekonomi negara.

“Kami mengalu-alukan kerjasama rakan strategik dalam merealisasikan potensi penuh MTC Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif menyeluruh ini dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 100 MTC tempatan, selaras dengan aspirasi Dana Impak untuk memangkin pertumbuhan MTC berpotensi tinggi agar lebih berdaya saing melalui pengukuhan kebolehan, peluasan akses kepada modal dan pembukaan peluang berasaskan inovasi.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, MTC berperanan sebagai enjin pertumbuhan penting yang memperkukuh pengeluaran industri, mencipta peluang pekerjaan dan merangsang inovasi selain menyumbang 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Melalui Pelan Hala Tuju MSME & MTC 5 Tahun (2024–2028), SC memainkan peranan utama dalam menyokong MTC tempatan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan, kesiapsiagaan pasaran serta peluang pertumbuhan strategik melalui pasaran modal.

“Kami menyokong matlamat jangka panjang SC untuk membangunkan ekosistem pembiayaan pasaran modal yang lebih inklusif dan menyeluruh,” ujarnya.

Strategi pelaburan Dana Impak berteraskan rangkaian inisiatif pembangunan keupayaan yang menyasarkan peningkatan kesiapsiagaan pertumbuhan, perluasan usaha pengembangan, pemerkasaan pelabur dan pemacuan produktiviti.

Antara inisiatif termasuk Program Elevate yang ditubuhkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Khazanah dan SC pada 17 Oktober 2024 sebagai sokongan terhadap pelan tindakan SC iaitu Memacu Akses MSME dan MTC ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024–2028).

Program Elevate ialah program kepimpinan eksekutif selama empat bulan yang dikendalikan oleh Capital Markets Malaysia (CMM) bagi membantu MTC serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengumpul modal. Khazanah dan CMM akan menaja penyertaan MTC ke dalam kohort Elevate sehingga tahun 2027.

Satu lagi inisiatif ialah MTC Growth Innovation Programme (MGIP), direka secara berstruktur bagi melengkapkan MTC dengan kemahiran strategik untuk meneroka pasaran baharu atau berkembang dalam segmen perniagaan baharu. Sokongan merangkumi kelas induk, bimbingan diagnostik dan latihan kepimpinan eksekutif.

Amirul Feisal berkata, pendekatan ini disokong oleh strategi pelaburan berbilang bentuk, termasuk pembiayaan melalui pengurus dana pembiayaan dan ekuiti swasta di pelbagai fasa kemajuan.

“Khazanah sedar bahawa MTC memerlukan penyelesaian pembiayaan yang fleksibel dan disesuaikan, sebagai alternatif kepada pembiayaan ekuiti tradisional,” katanya.

Dana Impak turut melaksanakan strategi pembiayaan swasta tanpa pemilikan ekuiti untuk mempercepatkan pertumbuhan MTC tempatan, antaranya melalui kerjasama dengan Navis Capital Partners dan Granite Asia firma pelaburan yang menawarkan strategi pembiayaan tersuai di rantau ini.

Di bawah strategi ekuiti swasta (PE), Khazanah juga bekerjasama dengan Creador, firma ekuiti swasta tempatan yang beroperasi di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang mempunyai rekod menyokong syarikat berkembang ke pasaran serantau dan membina nilai.

Maklum balas awal daripada peserta MGIP seperti Enda Group (Siti Khadijah), NSW Automation dan Sipro Plastic Industries membuktikan keberkesanan program dalam memangkin inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Enda Group, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, tidak banyak inisiatif dalam pasaran yang direka khusus untuk MTC.

“Cabaran yang dihadapi MTC berbeza daripada PKS atau PMKS. MGIP memahami keperluan ini,” katanya.

Pengarah Urusan NSW Automation, Boo Kiang Ngee pula menyifatkan MGIP sebagai pencetus perubahan yang memperkenalkan kaedah efektif menilai idea dan inovasi.

“Program ini mengubah cara kami mengenal pasti pertumbuhan perniagaan, dengan bimbingan jurulatih berpengalaman yang memberi perspektif dunia sebenar,” ujarnya.

Pengarah Sipro Plastic Industries, Afiqah Aida Rahim pula berkata, MGIP memberi perspektif baharu dalam pertumbuhan dan inovasi.

“Paling penting, pasukan kami kini dilengkapi dengan alat berstruktur yang boleh digunakan untuk mengembangkan syarikat,” katanya.

Khazanah menjemput MTC yang layak untuk menyertai kohort baharu MGIP yang dijadualkan bermula pada suku ketiga 2025.

Penyertaan terbuka kepada MTC Malaysia milik persendirian yang menjana hasil tahunan antara RM20 juta/RM50 juta hingga RM500 juta (sektor perkhidmatan/pembuatan); memiliki rekod keuntungan dan daya inovasi kukuh.

Maklumat lanjut dan permohonan boleh didapati di: https://www.khazanah.com.my/our-investments/dana-impak/mid-tier-companies

Menyumbang sekitar 36 peratus kepada KDNK dan menggaji 16 peratus tenaga kerja negara, MTC adalah pemacu utama ekonomi negara. Namun, masih banyak cabaran dalam mendapatkan pembiayaan pertumbuhan dan mencapai pengembangan berkesan.

Usaha dan kerjasama strategik ini, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI, merupakan sebahagian daripada komitmen Khazanah melalui dana RM1.0 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Scroll to Top