Khazanah yang membina manusia

Khazanah yang membina manusia

Di tengah-tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur yang kebanyakannya hidup dalam dunia yang pantas, masih ada ruang tenang untuk berfikir, merenung, dan mencari makna. Di sinilah letaknya Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Bukit Tunku, menjadi ruang ilmu yang tidak sekadar menyimpan buku, tetapi menghidupkan semangat peradaban.

Antara permata menjadi nadi kepada perpustakaan ini ialah Koleksi Tamadun Islam (KTI). Koleksi ini bukan saja menghimpunkan karya ulama dan pemikir agung Islam, tetapi mengekalkan kesinambungan khazanah keilmuan yang membentuk identiti umat. Dari karya al-Ghazālī, al-Fārābī dan Ibn Rushd hinggalah ke pemikir kontemporari, KTI menjadi jambatan antara masa lalu yang penuh hikmah dan masa depan yang menuntut kefahaman.

Tamadun bermula dari insan

Asas kepada kebangkitan tamadun Islam tidak pernah bermula dengan binaan megah ataupun kehebatan teknologi. Tetapi ia bermula dengan pembangunan insan, manusia beriman, berilmu, dan beradab. Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan tauhid dan akhlak, membentuk hati manusia agar mengenal Tuhan sebelum membina negara dan sistem. Ini kerana manusia inilah menjadi pentadbir, baik kepada dirinya sendiri, kepada keluarga, kepada masyarakat, bahkan kepada sistem apapun yang akan dibangunkan.

Inilah yang menjadi titik beza terbesar bagi tamadun Islam daripada tamadun lain. Bagi Islam, agama akar peradaban. Akidah melahirkan pandangan hidup (worldview) yang menyatukan akal dan wahyu, jiwa dan jasad, dunia dan akhirat.

Berbeza dengan tamadun Barat moden yang muncul selepas era pencerahan (enlightenment), kemajuan Islam tidak pernah menolak Tuhan daripada ruang intelek. Barat membebaskan falsafah daripada agama kerana sejarahnya penuh konflik antara gereja dan ilmu. Namun Islam mengajarkan bahawa ilmu itu anugerah Ilahi dan penekanan diberi sehingga mencari ilmu dikira sebagai ibadah.

Warisan yang menyatukan ruh dan akal

Inilah semangat yang ingin dikembalikan Koleksi Tamadun Islam (KTI). Setiap naskhah di dalamnya bukti peradaban Islam terbina daripada keseimbangan antara ruhani dan jasmani. Ia tidak memisahkan antara ilmu dunia dan akhirat, antara sains dan akidah, antara ekonomi dan akhlak. Karya besar tersimpan di KTI seperti Ihya Ulum al-Din karya al-Ghazali, al-Madinah al-Fadilah karya al-Farabi, Tahafut al-Falasifah oleh Ibn Rushd, dan Muqaddimah oleh Ibn Khaldun mengajarkan hal sama: bahawa kemajuan mesti berpaksikan nilai. Tamadun Islam tidak menolak pembangunan lahiriah, tetapi menegaskan bahawa jasad mesti tunduk kepada ruh, dan akal mesti dipandu oleh wahyu.

Pembangunan insan sebagai teras tamadun

Apabila insan dibangunkan dengan adab maka seluruh masyarakat akan teratur. Apabila manusia tahu peranan diri sebagai hamba dan khalifah, maka ilmu menjadi alat kebaikan, bukan keangkuhan. Sebaliknya, apabila pembangunan hanya tertumpu pada kemewahan lahiriah tanpa pembangunan jiwa, maka kemajuan itu akan membawa kehancuran sebagaimana yang diingatkan oleh al-Qur’an tentang umat terdahulu.

Falsafah pembangunan yang berakar dalam Islam menuntut keseimbangan antara aspek yang kekal (thābit) seperti iman, akhlak dan keadilan dengan aspek yang berubah (mutaghayyir) seperti sistem, teknologi, dan cara hidup. Bila kedua-duanya diletakkan pada tempat yang betul, maka lahirlah tamadun yang adil, makmur, dan beradab.

Ibn Khaldun dan cerminan Pembangunan Tamadun

Pemahaman yang menyeluruh tentang hubungan antara insan, masyarakat, dan tamadun ini diungkap dengan mendalam oleh Abd al-Rahman Ibn Khaldun (1332–1406M), seorang tokoh yang sering digelar sebagai bapa sosiologi dan sejarawan Islam paling berpengaruh. Melalui karya agungnya, al-Muqaddimah, Ibn Khaldun menjelaskan bahawa setiap tamadun berkembang melalui kitaran yang bermula daripada kekuatan moral dan sosial (asabiyyah), mencapai kemakmuran, lalu merosot apabila masyarakat hilang nilai dan semangat keinsanan.

Namun beliau bukan sekadar ahli sejarah; Ibn Khaldun ialah ahli agama, ahli falsafah dan negarawan menggabungkan ilmu baik dari aspek zahir mahupun batin. Baginya, kekuatan politik dan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada kekuatan akhlak dan agama.

Biodata Ringkas Ibn Khaldun

Ibn Khaldun dilahirkan pada tahun 732H/1332M di Tunis, dalam keluarga berketurunan Arab Andalusia yang terkenal dengan tradisi ilmu dan pentadbiran. Sejak kecil beliau menunjukkan kecerdasan luar biasa. Beliau mempelajari al-Qur’an dan ilmu-ilmu Islam di bawah bimbingan Muḥammad ibn Saʿd ibn Burrāl, manakala ayahnya sendiri mengajarnya bahasa Arab dan adab. Antara gurunya yang lain ialah Muhmmad ibn al-Arabi al-Hasayri, Aḥmad ibn al-Qassar, dan Abd al-Salam al-Hawwali yang merupakan tokoh ilmuwan besar di Afrika Utara dan Andalusia ketika itu. Beliau turut mendalami hadis, fiqh, nahu, logik dan ilmu falsafah, serta memiliki kecenderungan terhadap kesusasteraan dan syair Arab klasik.

Sepanjang hidupnya, Ibn Khaldun berkhidmat sebagai penulis, setiausaha kerajaan, diplomat dan qadi (hakim besar) di Maghribi dan Mesir. Pengalamannya dalam dunia politik dan pentadbiran memberi pandangan mendalam tentang dinamika kuasa, masyarakat, dan moral, yang kemudiannya menjadi asas kepada Muqaddimah.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada 808H/1406M dan dimakamkan di Safiyyah berhampiran Bab al-Naṣr. Sumbangannya diiktiraf bukan sahaja dalam dunia Islam, tetapi juga sarjana barat moden seperti Arnold Toynbee yang menyifatkan Muqaddimah ‘the greatest work of its kind ever created by any mind in any time.’

Antara yang kekal dan yang berubah

Ibn Khaldun menunjukkan dengan jelas sesuatu tamadun kekal apabila ia memelihara keseimbangan antara nilai dan bentuk, antara moral dan struktur. Apabila masyarakat mula agungkan kemewahan dan lupa keadilan, maka mereka memasuki fasa kemerosotan.

Inilah pengajaran bemanfaat untuk kita cermati hari ini. Pembangunan tidak salah, tetapi ia mesti berpaksikan adab. Menurut Professor Diraja Terpuji Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas, kehilangan adab menjadi akar kekeliruan dan akan melahirkan para pemimpin palsu. Manusia perlu tahu meletak sesuatu pada tempatnya, antara dunia dan akhirat, fakta dan hakikat, wasilah dan matlamat, agar pembangunan itu benar-benar mencapai tujuannya.

Peranan Koleksi Tamadun Islam (KTI)

Koleksi Tamadun Islam di PTAS, IKIM berfungsi sebagai jambatan untuk mengembalikan keseimbangan ini. Ia membantu generasi hari ini memahami bahawa pembangunan tidak boleh dipisahkan daripada nilai dan sejarah. Melalui karya-karya ulama seperti Ibn Khaldun, kita belajar kemajuan luaran hanya bermakna apabila disertai kematangan ruhani.

Penutup: Menghidupkan adab dan ilmu

Tamadun Islam lahir daripada keseimbangan: antara iman dan akal, antara dunia dan akhirat. Ia bermula daripada pembinaan manusia dan bukan sekadar pembangunan sistem. Maka, jika kita ingin bangunkan semula tamadun, kita mesti kembali kepada asas iaitu perkukuhkan akidah, hidupkan ilmu, dan menegakkan adab.

Di Perpustakaan Tun Ahmad Sarji, khazanah itu masih hidup dan menunggu untuk dibuka, dibaca, dan dihayati. Dari halaman demi halaman karya besar seperti Muqaddimah, kita diajak kembali kepada diri dan bertanya: apakah makna sebenar kemajuan, jika ia tidak membawa manusia kepada Tuhan?

Penulis Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top