am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pemilik dua khemah jualan mercun dan bunga api yang terbakar di Wakaf Che Yeh di sini, pagi tadi menganggap kejadian sebagai ujian dan bersyukur kebakaran tidak merebak ke kawasan berdekatan.
Dia yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu dia tiada di lokasi dan hanya dihubungi rakan bahawa premisnya sedang terbakar.
“Saya segera ke lokasi dan sebaik tiba, saya dapati api sudah padam dan dua khemah hangus selain keadaan berselerak serta kotor dengan belerang mercun.
“Tidak banyak pun mercun dan bunga api yang tinggal selepas tidak habis terjual dan nasib baik api tidak merebak ke kawasan sekitar namun dua motosikal juga turut hangus.
“Saya tak dapat anggar lagi jumlah kerugian kerana masih terkejut namun dalam masa yang sama menganggap ujian di bulan Syawal,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dia berkata, kemungkinan besar cuaca terlampau panas menyebabkan mercun atau bunga api yang disimpan meletup namun tidak menolak jika ada yang sengaja membuang puntung rokok ke arah khemah terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.12 pagi dan seramai 17 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Tunjong serta Kota Bharu bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, api sedang marak namun dengan kepantasan pegawai serta anggota, dapat mengelakkan ia terus merebak ke premis berhampiran.
“Kebakaran dapat dikawal jam 10.25 pagi dan operasi tamat pada jam 11.44 pagi manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




