Khemah rosak, bazar Ramadan terpanjang di Rawang dilanda angin kencang, hujan lebat

Khemah rosak, bazar Ramadan terpanjang di Rawang dilanda angin kencang, hujan lebat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebahagian bazar Ramadan terpanjang di negara ini yang terletak di Bandar Tasik Puteri, Rawang di Selangor rosak susulan hujan lebat dan angin kencang petang tadi.

Beberapa video yang tular dalam talian menunjukkan khemah, makanan, minuman serta peralatan lain di sepanjang laluan 1.4 kilometer (km) itu diterbangkan angin dan basah lencun ketika peniaga serta pelanggan berteduh di bawah khemah yang masih tegak.

Peniaga juga dilihat cuba menyelamatkan peralatan mereka selepas ribut reda pada hari pertama berpuasa.

Bazar berkenaan yang lebih dikenali orang ramai sebagai Bazar Ramadan Santai terjejas teruk akibat cuaca buruk berkenaan.

Menerusi siri video yang dimuat naik oleh @chefazreen86 di TikTok hari ini, cuaca yang pada mulanya tenang berubah menjadi ganas dalam tempoh hanya beberapa minit.

Angin kencang menggegarkan khemah dan membasahi keseluruhan tapak bazar berkenaan.

Sementara itu, pengguna @ayunabilaazizi memuat naik video dia bersama keluarganya basah lencun akibat hujan lebat ketika meninggalkan bazar berkenaan dengan menunggang motosikal.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa negeri di seluruh Semenanjung Malaysia serta sebahagian Sabah dan Sarawak sehingga jam 7 malam tadi.

Menurutnya, taburan hujan melebihi 20 milimeter (mm) sejam atau berterusan selama lebih satu jam dijangka berlaku di kawasan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top