
PERKHIDMATAN pemandu arah itu antara lain menyediakan panduan tepat bagi memastikan semua pengunjung mendapat pengalaman yang selesa dan lancar. Foto ALHARAMAINSA
TIDAK perlu lagi risau jika tersesat di dalam Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah kerana perkhidmatan sukarelawan baharu diperkenalkan bagi membantu jemaah terutamanya untuk warga emas serta orang kurang upaya.
Inisiatif itu diumumkan oleh Presiden Umum bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci baru-baru ini sebagai usaha meningkatkan pengalaman ibadah jemaah.
Memetik laporan portal berita Arab News, pengarah inisiatif baharu itu, Bassem Wahbo menjelaskan, selain pemandu arah, panduan tersebut boleh dikenal pasti melalui papan tanda jelas dan penanda lantai yang menunjukkan lokasi mereka.
“Sistem ini mewujudkan hubungan yang berkesan antara lokasi dan perkhidmatan berdekatan, sekali gus mewakili satu kemajuan penting dalam keupayaan bantuan kepada pengunjung,“ katanya.
Menurutnya, perkhidmatan itu antara lain menyediakan panduan tepat bagi memastikan semua pengunjung mendapat pengalaman yang selesa dan lancar.
“Kami memberi tumpuan khas kepada jemaah warga emas dan orang kurang upaya dengan mengarahkan mereka ke laluan serta perkhidmatan khas bagi memudahkan pergerakan mereka,“ tambahnya.

SUKARELAWAN pemandu arah membantu seorang jemaah haji sebagai sebahagian daripada inisiatif baharu oleh Pihak Berkuasa Am untuk Penjagaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Foto HARAMAINSA
Sementara itu, pakar haji dan umrah, Saad Al-Sharif memuji langkah itu sebagai cemerlang dan menyifatkan pemandu arah turut membantu jemaah untuk melalui lorong yang benar daripada tersesat.
Bagi jemaah umrah, Abdulrahman Faisal, beliau menekankan kepentingan pasukan itu dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Mereka memberikan bantuan segera kepada jemaah yang menghadapi kesukaran seperti strok haba atau keletihan serta berkoordinasi dengan pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan,“ katanya.
Menurut laporan Arab News, khidmat pemandu arah itu ditempatkan strategik di lokasi utama termasuk kawasan tawaf dan laluan sai.
“Penggunaan aplikasi pintar dan teknologi pemetaan digital mereka untuk memberikan maklumat yang tepat dan segera adalah sesuatu yang sangat mengagumkan,“ ungkapnya.
Perkhidmatan itu dilaporkan telah mengurangkan kejadian pengunjung tersesat serta memperbaiki tahap penyusunan keseluruhan di masjid suci.