am@hmetro.com.my
Kulai: Sebanyak 16 kawasan Pemuda Amanah Johor membuat laporan polis hari ini, susulan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari di Facebook miliknya, Jumaat lalu.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Johor, Abdul Razak Ismail berkata, sayap berkenaan menyifatkan kenyataan Ahmad Fadhli yang memuatkan kiasan ayam betina dan biawak itu, sebagai menghasut dan boleh menimbulkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, kenyataan itu juga berisiko menggugat keamanan dan kestabilan negara.
“Kenyataan Ahmad Fadhli itu boleh menimbulkan salah faham, fitnah dan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Pemuda Amanah Johor berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terhadap tujuan kenyataan sebegitu dikeluarkan.
“Jika mahu sokong Datuk Seri Najib Razak boleh saja, siapa-siapa boleh sokong tetapi jangan keluar kenyataan seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan terhadap Ahmad Fadhli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pemuda Amanah Johor, Taqiuddin Cheman.
Jumaat lalu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas dilaporkan menghantar kata-kata kiasan membabitkan haiwan seperti ayam dan biawak.
“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” kias Ahmad Fahdli tanpa memberi sebarang penjelasan lanjut.
Kiasan itu dikongsi Ahmad Fahdli sejurus Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan pembatalan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib.
© New Straits Times Press (M) Bhd




