am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza, di sini, pada Jumaat lalu tampil memohon maaf berhubung tindakan mengibarkan bendera Israel ketika melakukan lakonan semula pada program berkenaan.
Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, susulan itu beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk disiasat berhubung perkara itu.
“Saya memohon maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang salah faham berhubung gimik atau simulasi persembahan pada hari kejadian.
“Selaku penganjur, saya bertanggungjawab atas kesalahan ini dan saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya menerusi TikTok.
Beliau turut menjelaskan penganjuran program yang kali ketiga diadakan pihaknya itu adalah hasil sumbangan daripada orang awam dan pihak syarikat.
“Bajet penganjuran ini tidak membabitkan sumbangan daripada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat atau mana-mana parti politik,” katanya.
Terdahulu, polis Kelantan akan membuka siasatan berhubung pengibaran bendera Israel pada Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Lembah Sireh, di sini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusuff Mamat dilaporkan berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (kawalan mempamer) 1949.
Katanya, pihaknya akan merakam keterangan daripada pihak penganjur program berkenaan dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




