sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kidslympic Malaysia akan memastikan program berkenaan menjadi acara tahunan berprestij dan dinanti-nantikan oleh ibu bapa untuk menghantar anak mereka sebagai pendedahan awal dalam sukan.
Pengasas bersama Kidslympic Malaysia, Goh Liu Ying berkata, tahun ini memperlihatkan sambutan daripada ibu bapa sangat menggalakkan dan itu memberi motivasi serta keyakinan lebih besar buat mereka merangka program lebih baik pada tahun akan datang.
“Ini tahun kedua kita anjurkan Kidslympics. Lebih baik daripada jangkaan dan kita dapat mengumpulkan atlet cilik seawal umur empat dan lima tahun. Kita akan jadikan ia sebagai acara tahunan selepas ini.
“Jadi ini matlamat kita nak bagi anak-anak ini minat ke arah sukan bermula dari kecil lagi. Saya teruja kerana Larian Grand Final yang kita buat bersama seorang anak dengan ibu atau bapa turut mendapat kerjasama sangat baik untuk berlari bersama-sama.
“Tujuan bukan nak berdaya saing tetapi nak meningkatkan semangat kekeluargaan. Jadi, tahun ini matlamat tercapai apabila lebih 3,000 orang menyertai program ini. Harap tahun hadapan akan menjadi lebih baik,” katanya selepas Kidslympic Games 2025 di Stadium Merdeka, hari ini.
Selain itu, beliau juga merancang untuk meneruskan jelajah seperti tahun ini dan akan pergi ke beberapa negeri lain bagi menarik minat mereka menceburi sukan berkenaan.
“Tahun ini kita ada buat program di beberapa negeri dan sambutan sangat baik. Mungkin ini tahun pertama (jelajah negeri), jadi kita masih baru lagi. Yang paling banyak penyertaan kita dapat adalah di Selangor, sangat ramai peserta.
“Jadi mereka pun mula kenal Kidslympics dan itu satu perkara positif untuk kita. Kita harap tahun hadapan kita boleh buat lagi program larian seperti ini. Kita harap boleh pergi ke Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Untuk makluman, acara kemuncak Kidslympic diadakan di Stadium Merdeka melibatkan beberapa acara seperti olahraga, bola sepak, bola keranjang, gimnastik dan cabaran halangan.
Tujuan utama bukan untuk mencari siapa pemenang, sebaliknya melatih minat serta semangat untuk mereka bersaing dalam sukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




