am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, Telipok terbakar, hari ini, dengan api menjulang tinggi serta asap tebal memenuhi ruang udara hingga dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.
Kebakaran dipercayai bermula sekitar jam 6.20 petang.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah yang menerima panggilan kecemasan digerakkan ke lokasi.
Sebaik pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba, api didapati sudah marak, memaksa anggota melakukan pemadaman awal secara agresif bagi mengawal punca api daripada merebak ke struktur lain.
Operasi pemadaman turut disertai BBP Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang selepas skala kebakaran didapati besar dan memerlukan sokongan tambahan jentera serta anggota.
Detik lebih mencemaskan berlaku apabila letusan kecil dari bahagian dalam kilang menyebabkan api kembali menjulang buat kali kedua, mengubah udara malam menjadi terang dan memaksa anggota meningkatkan jarak keselamatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.25 petang.
“Kebakaran membabitkan sebuah kilang dan pasukan bomba sedang giat menjalankan operasi pemadaman.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan, namun kawasan sekitar sudah dikosongkan bagi tujuan keselamatan dan memberi ruang kepada anggota menjalankan operasi tanpa gangguan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut berada di lokasi bagi membantu kawalan trafik, keselamatan orang awam serta kesiapsiagaan sekiranya pemindahan perlu dilakukan.
“Operasi pemadaman masih berjalan ketika ini, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




