Kilang e-waste haram kena serbu, rampasan lebih RM21 juta

Kilang e-waste haram kena serbu, rampasan lebih RM21 juta

am@hmetro.com.my

Kulim: Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, semalam menyerbu kilang haram di Mukim Bagan Sena, dekat sini, disyaki menjalankan aktiviti memproses sisa e-waste secara haram.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter Op Hazard itu, pasukan serbuan menemui pelbagai peralatan serta kelengkapan disyaki digunakan bagi aktiviti berkenaan.

Katanya, turut ditemui bongkah e-waste yang dimampatkan dan bahan belum diproses di kilang itu yang terletak di tepi jalan utama Kulim ke Baling.

“Empat lelaki iaitu seorang lelaki tempatan dan tiga warga China dan Myanmar ditahan, semuanya berusia antara 36 hingga 45 tahun.

“Rampasan dibuat antaranya, 50,000 kilogram (kg) bongkah e-waste; 20,000kg aluminium; sisa enap cemar (30,000 kg); longgokan sisa debu dan mesin serta jentera yang keseluruhannya bernilai lebih RM21 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua rampasan diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen, Seksyen 34A dan Seksyen 34B aktara sama serta Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing yang tiada dokumen perjalanan sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top