Kilang getah terbakar, 80 pelajar jatuh sakit

Kilang getah terbakar, 80 pelajar jatuh sakit

am@hmetro.com.my

Kulai: Seramai 80 pelajar dilaporkan mengalami gejala ringan susulan kebakaran kilang getah di Kawasan Perindustrian Sengkang, di sini, sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata, kesemua itu membabitkan 56 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai dan 24 pelajar SK Taman Kota Kulai 2.

“Sehingga kini, Pejabat Kesihatan Daerah (PPD) Kulai memaklumkan terdapat beberapa sekolah yang mempunyai pelajar bergejala ringan seperti sakit kepala, batuk, sakit mata dan sesak nafas ringan.

“Kesemua pelajar yang terlibat kini berada dalam pemantauan pihak kesihatan. Tiada pelajar yang dimasukkan ke dalam wad setakat ini,” katanya semalam.

Tian Soon berkata, PKD Kulai bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa dari semasa ke semasa dan menggesa orang ramai yang mengalami gejala untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Katanya, susulan insiden kebakaran yang itu, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) menjalankan pemantauan serta pengukuran bacaan kualiti udara di kawasan terlibat.

“Berdasarkan bacaan terkini, tahap kualiti udara didapati berada pada paras normal dan terkawal.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak JAS turut menempatkan peralatan pemantauan kualiti udara di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak lima sekolah di sekitar lokasi kejadian diarahkan ditutup sementara sejak semalam berikutan asap tebal dikhuatiri menjejaskan kesihatan warga sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top