am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Tindakan sebuah kilang kitar semula yang beroperasi tanpa lesen hingga menimbulkan kacau ganggu bau kepada penduduk setempat di Jalan Abdul Aziz, Ijok, di sini diserbu pihak berkuasa, semalam.
Serbuan pada jam 9 pagi itu membabitkan 23 anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin, berkata operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan berhubung pengoperasian kilang haram di kawasan kampung.
“Hasil pemeriksaan mendapati kilang terbabit disyaki menyimpan dan memproses buangan terjadual seperti buangan bateri kering dan tembaga serta papan litar plastik.
“Premis itu kemudian diarah tutup serta merta dan dikenakan kompaun atas kesalahan tiada lesen aktiviti mengilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamad Lutfi berkata, pihaknya juga menyita tiga forklift dan satu pemampat udara untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007.
“Pemilik kilang berusia 50-an turut diarah mengemukakan pelan bangunan tersebut.
“Kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan struktur bangunan tidak mendapat kelulusan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.
Beliau berkata, JAS turut mengambil lima sampel buangan terjadual di premis itu dan merampas tiga suis utama dan satu penyental.
© New Straits Times Press (M) Bhd


