Kilang konkrit sebabkan pencemaran habuk, bunyi diarahkan henti operasi serta-merta

Kilang konkrit sebabkan pencemaran habuk, bunyi diarahkan henti operasi serta-merta

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Premis kilang konkrit di Hutan Kampung yang didakwa mengganggu penduduk akibat pencemaran habuk serta bunyi diarahkan menghentikan operasi serta-merta bermula hari ini.

Ia susulan pendedahan Harian Metro pada 20 April lalu yang menyiarkan kisah keluhan penduduk di kawasan itu yang mendakwa tidak tahan dengan pencemaran habuk dan bunyi bising di kawasan itu sejak Disember tahun lalu.

Mereka mendakwa lebih 100 penduduk penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di Hutan Kampung, di sini, mendakwa tidak tahan apabila sebuah kilang konkrit yang beroperasi tidak jauh dari situ menyebabkan pencemaran habuk debu sejak Disember tahun lalu.

Antara kawasan yang terjejas adalah Taman Mustika, Taman Cahaya, Kampung Masech dan kawasan sekitarnya.

Susulan daripada itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melakukan pertemuan dengan pihak premis kilang terbabit baru-baru ini bersama pelbagai agensi berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Berikutan itu, MBAS hari ini melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap premis kilang terbabit susulan aduan awam berkaitan pencemaran habuk, bunyi bising, getaran serta isu keselamatan yang memberi kesan kepada penduduk sekitar.

MBAS dalam kenyataannya di Facebook (FB) berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti tanpa kelulusan yang sewajarnya.

Sehubungan itu, MBAS telah menguatkuasakan Notis Penutupan Sementara di bawah Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta mengarahkan semua aktiviti operasi dihentikan serta-merta bermula hari ini sehingga mendapat kebenaran pihak berkuasa.

“Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“MBAS akan terus komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang demi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup warga bandar raya Alor Setar sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab ketika dihubungi berkata, sebelum sebarang pembangunan dilakukan di kawasan tertentu, perlu dibuat penilaian kesesuaian tapak menerusi Ulasan Input Pembangunan dahulu dengan melihat aktiviti, impak pencemaran, langkah kawalan dan zon penampan.

Beliau berkata, aktiviti ini bukanlah tertakluk kepada Perintah Laporan penuh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), namun masih berpotensi menimbulkan kacau ganggu terutama jika berdekatan dengan penempatan penduduk.

“Jika tapak yang sesuai dipilih, ia akan meminimakan impak ke atas orang awam, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top