Kim Woo Bin, Shin Min Ah berkahwin hari ini

Kim Woo Bin, Shin Min Ah berkahwin hari ini

Seoul: Pelakon Korea Selatan, Kim Woo Bin dan Shin Min Ah selamat melangsungkan perkahwinan pada Sabtu dalam majlis tertutup, di sini, hari ini.

Syarikat pengurusan pasangan terbabit, AM Entertainment berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran beberapa foto perkahwinan mereka di media sosial rasminya.

“Hari ini, pelakon Shin Min Ah dan Kim Woo Bin secara rasmi berkahwin.

“Kami amat berterima kasih atas ucapan tahniah serta sokongan tidak berbelah bahagi yang anda berikan kepada pasangan ini ketika mereka memulakan perjalanan baharu penuh bermakna ini,” tulis kapsyen pada hantaran berkenaan.

Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung di sebuah hotel di Seoul, Korea Selatan dengan dihadiri jemputan terdekat serta kenalan rapat.

Dalam hantaran sama, pihak pengurusan turut menyampaikan penghargaan daripada kedua-dua pelakon itu buat peminat yang banyak memberi sokongan terhadap kerjaya mereka.

“Mereka mahu membalas kasih sayang anda dengan terus memberikan persembahan terbaik di layar perak pada masa akan datang,” jelasnya.

Terdahulu pasangan itu mengumumkan khabar gembira perkahwinan mereka pada November lalu selepas 10 tahun bercinta.

Pasangan terbabit mula menjalinkan hubungan cinta selepas bertemu sebagai model iklan untuk jenama pakaian terkenal pada bulan Julai tahun 2015 lalu di Seoul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top