Kini jadi tauke syarikat sendiri

Kini jadi tauke syarikat sendiri

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Foto/video Ihsan RINA ASTATI SYAHRIMAN

Ulu Tiram: Perpisahan dengan bekas suami pada tahun lalu amat menyakitkan, tambah pula wanita ini diuji dengan dugaan itu selepas dua bulan menyambut kelahiran cahaya mata keenam.

Malah, Rina Astati Syahriman, 37, membuat keputusan nekad untuk berpisah kerana dapat tahu suaminya berkahwin baharu kerana tidak sanggup hidup berpoligami.

Menurutnya, biarpun melalui ujian berat, dia enggan hidup dalam kesedihan kerana memikirkan tanggungjawab membesarkan anak berusia satu hingga 14 tahun walaupun berstatus ibu tunggal.

“Berbekalkan semangat, saya bangkit melawan kesedihan dan bersyukur kerana kini merasai kemanisan apabila kehidupan stabil dengan izin Allah SWT selepas kerja keras sebagai usahawan perabot sejak lebih setahun lalu.

“Bila dapat tahu mengenai hubungan suami dan wanita itu, memang sedih, tapi saya ambil keputusan undurkan diri. Mungkin sudah takdir jodoh saya dengan suami daripada perkahwinan ketiga sampai di situ saja.

“Jadi, saya pilih teruskan kehidupan baru dengan anak sebagai sumber kekuatan sampai ke hari ini. Syukur kerana Allah SWT hadirkan orang sekeliling yang baik untuk saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Rina Astati berkata, dia sebelum ini mempunyai pengalaman membantu perniagaan jualan perabot terpakai diusahakan bekas suami.

Justeru, katanya, dia tidak mensia-siakan pengalaman itu dan menggunakannya untuk mencari rezeki dalam bidang sama namun dengan perniagaan atas nama sendiri serta bermula daripada bawah.

“Awalnya saya berniaga di tepi jalan dan ruang premis pun kecil saja hingga tak dapat pamerkan banyak perabot. Tapi, saya bertahan dan kumpul duit hingga dapat berpindah ke kilang diusahakan sekarang.

“Kiranya, saya bermula daripada tiada apa, sampai satu tahap, saya fikir bolehkah saya hidup tanpa suami, tapi syukur sudah nampak manisnya, semuanya sebab Allah SWT izinkan,” katanya.

Walaupun baru lebih setahun, Rina Astati mengakui perniagaannya semakin stabil apabila sudah bertukar status daripada Enterprise ke Sdn Bhd.

“Bukan senang nak menarik pelanggan, tapi saya cuba dengan jadikan perniagaan sebagai satu cara bantu pasangan baru berkahwin dengan menjual pakej perabot harga mampu milik.

“Matlamat saya kini hanya mengukuhkan perniagaan supaya dapat menjadi inspirasi kepada wanita khususnya ibu tunggal. Prinsip saya adalah usaha sampai jadi dan jangan pernah berputus asa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top