London: Selepas melalui kerjaya gemilang yang merangkumi dua pingat emas Olimpik dan 11 kemenangan di acara maraton utama, legenda olahraga Kenya, Eliud Kipchoge kini mengumumkan projek Jelajah Dunia Eliud Kipchoge.
Ia adalah sebuah misi yang akan menyaksikannya berlari satu acara maraton di setiap tujuh benua dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Larian adalah sukan paling universal dan ia menghubungkan kita semua. Dengan projek ini, saya mahu berlari bukan hanya untuk rekod, tetapi untuk manusia.
“Saya mahu terus mencabar diri saya untuk berlari pada tahap terbaik, tetapi pada masa sama mahu memberi inspirasi, memberi kembali dan mengingatkan semua bahawa tiada batasan untuk manusia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh pasukannya.
Walaupun tarikh serta lokasi larian belum diumumkan, laman web baharu yang dikhaskan untuk jelajah dunia itu menyatakan bahawa benua paling sejuk di dunia turut tersenarai sebagai destinasinya.
“Saya akan berlari di Antartika! Saya kini mahu melakukan sesuatu yang ekstrem, sesuatu yang boleh membuat seseorang bekerja keras,” katanya.
Larian terbaharunya di Maraton New York City pada Ahad lalu, di mana dia menamatkan saingan di tempat ke-17 dengan catatan 2 jam 14:36 saat (s), adalah kali pertama dalam kariernya menamatkan tiga maraton dalam satu tahun.
Jika dia mahu menyempurnakan jelajah dunia itu, jadualnya akan menjadi lebih padat, dengan atlet dari Kapsisiywa, Kenya itu perlu berlari sekurang-kurangnya empat maraton dalam tempoh 12 bulan bagi mencapai sasaran tujuh maraton dalam tempoh dua tahun.
Dan cabarannya mungkin bukan hanya terhad kepada jarak tradisional maraton iaitu 42.195 kilometer (km) .
“Saya akan berlari sehingga 50km di Arab Saudi. Saya mahu melakukan sesuatu yang ekstrem, yang dapat membuat seseorang bekerja keras, dan juga menarik rakan penaja untuk menyokong matlamat ini,” katanya kepada Olympics.com.
© New Straits Times Press (M) Bhd




