London: Presiden baharu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry menyatakan ahli jawatankuasa badan induk itu menunjukkan sokongan luar biasa untuk melindungi kategori wanita dalam sukan.
Kirsty berkata, IOC mesti memainkan peranan utama dalam perbincangan mengenai kelayakan jantina dalam sukan.
Pada sidang media pertamanya sejak mengambil alih jawatan minggu ini, bekas perenang Zimbabwe itu mendedahkan bahawa satu kumpulan kerja yang terdiri daripada pakar dan persekutuan antarabangsa sudah ditubuhkan bagi memastikan mencapai kata sepakat bersama.
Sebelum ini, IOC menyerahkan isu peraturan jantina kepada badan induk sukan masing-masing dan tidak melaksanakan pendekatan universal.
Namun selepas menjadi wanita pertama memegang jawatan Presiden IOC, Kirsty yang berusia 41 tahun berkata, ahli jawatankuasa kini memandang perkara itu lebih serius.
Bagaimanapun, Kirsty memberi bayangan tiada tindakan retrospektif akan diambil berhubung kejohanan tinju yang kontroversi di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, di mana pendekatan IOC dalam isu jantina mencetuskan kritikan.
“Kami faham akan wujud perbezaan bergantung kepada jenis sukan… tetapi mesej yang jelas daripada ahli-ahli ialah kita mesti melindungi kategori wanita terlebih dahulu demi menjamin keadilan.
“Namun kita perlu melakukannya dengan pendekatan saintifik dan membabitkan persekutuan antarabangsa yang sudah banyak menjalankan kajian dalam bidang ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd