Kisah pengorbanan, keberanian perajurit kaum Cina dimuat dalam 'Memoirs-Malaya and Borneo at War'

Kisah pengorbanan, keberanian perajurit kaum Cina dimuat dalam 'Memoirs-Malaya and Borneo at War'

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kisah keberanian, pengorbanan dan ketabahan perajurit negara yang pernah menggalas tugas di medan tempur kini kembali disingkap menerusi pelancaran buku terbaharu terbitan Persatuan Veteran Tentera Malaysia Kaum Cina (MACVA), di sini, hari ini.

Berjudul Memoirs-Malaya and Borneo at War, naskhah ini adalah kesinambungan kepada buku memoir pertama terbitan MACVA dan menghimpunkan catatan pengalaman peribadi anggota tentera yang pernah berkhidmat, khususnya ketika zaman getir negara.

Presiden MACVA, Datuk Lee Kwang Lock berkata, buku berkenaan bukan sekadar catatan sejarah.

Sebaliknya, beliau berkata, ia turut menjadi penghormatan buat ribuan anggota tentera dan polis yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara ketika era darurat, konfrontasi Indonesia dan kempen menentang pemberontakan komunis.

“Ini bukan sekadar sebuah buku, ia adalah legasi.

“Ia memastikan pengorbanan dan perjuangan para veteran tidak luput ditelan zaman,” katanya pada media pelancaran buku MACVA MOV2: Malaya dan Borneo Dalam Perang di sini, hari ini.

Buku yang memuatkan kisah operasi ketenteraan di hutan tebal dan kawasan pedalaman, ketika anggota keselamatan bertarung nyawa demi memastikan keamanan tanah air.

Buku berkenaan turut mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menyokong operasi ketenteraan darat ketika era berkenaan.

Menurutnya, sejarah pascaperang Malaysia sering dilihat menerusi lensa luar, dan Memoirs 2 tampil bagi memperbetulkan naratif itu dengan mengetengahkan suara serta pengalaman tempatan.

“Banyak kisah ini mungkin akan hilang begitu sahaja.

“Kami percaya buku ini mampu menjadi suluh kepada sejarah perjalanan negara,” katanya.

Menurutnya, buku juga diterbitkan sebagai inisiatif mengumpul dana kebajikan untuk membantu ahli persatuan.

“Memoir pertama MACVA yang dilancarkan pada Mac 2020 sebelum ini berjaya menarik perhatian umum serta menyumbang kepada dana persatuan, namun terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19 tidak lama kemudian.

“Jilid kedua ini meneruskan misi terdahulu dengan merakam detik-detik penting dalam sejarah keselamatan negara dari perspektif mereka yang pernah melaluinya.

“Ia menjadi peringatan keamanan yang dikecapi hari ini terhasil daripada keberanian dan perpaduan generasi terdahulu sebagai tanda kita tidak melupakan jasa mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top