London: Dokumentari drama ‘Giant’ membawa kisah bekas juara dunia Britain, ‘Prince’ Naseem Hamed, ke layar perak, dengan Amir El-Masry dan Pierce Brosnan memegang watak peninju dan jurulatihnya.
Naseem memegang pelbagai gelaran dunia dalam kerjayanya dari 1992 hingga 2002 dan terkenal dengan gaya masuk ke gelanggang yang menarik serta aksi dramatik di tepi gelanggang.
‘Giant’ mengisahkan kebangkitan Naseem dari latar belakang sederhana, memfokuskan hubungan beliau dengan mentor dan jurulatih, Brendan Ingle.
Ingle, warganegara Ireland yang dilakonkan oleh Brosnan, mengendalikan gimnasium di Sheffield, England, dengan misi memberi inspirasi kepada remaja untuk menukar kehidupan jalanan kepada dunia tinju.
Apabila ibu bapa Naseem yang berasal dari Yemen menghantar anak-anak mereka ke gim itu bagi melindungi mereka daripada unsur buli perkauman, Naseem yang berusia 7 tahun ketika itu menonjol dengan kelajuan kaki dan gaya cukup meyakinkan.
Kaedah latihan Ingle yang tidak konvensional digabungkan dengan bakat Naseem membawa mereka berdua ke puncak kejayaan, tetapi kejayaan juga menguji hubungan mereka.
“Ia kisah dua lelaki yang sangat bercita-cita tinggi… yang tahu bagaimana rasanya berada di luar arus kehidupan dan mempunyai semangat ganas untuk menjadi hebat,” kata Brosnan semasa tayangan perdana filem itu di London.
Adik-beradik Ghaith dan Ali Saleh memegang watak Naseem pada usia 7 dan 12 tahun, sementara Amir melakonkan watak Naseem pada tahap kemuncaknya.
Amir mengambil masa empat minggu untuk bersedia bagi watak itu, berlatih 12 jam sehari, menurunkan berat badan 8 kilogram (km) dan menonton rakaman arkib untuk menjiwai pergerakan serta sikap sombong Naseem.
“Cabaran besar untuk dipikul. Dia adalah salah seorang wira saya semasa kecil,” kata Amir.
Sylvester Stallone bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk ‘Giant’, yang ditulis dan diarahkan oleh Rowan Athale.
© New Straits Times Press (M) Bhd




