Beijing: Huang Kaihong, dikenali sebagai ‘penghantar makanan paling kesepian di China’, adalah satu-satunya penghantar sepenuh masa di sebuah daerah terpencil di Medog, wilayah Nyingchi, Tibet, lapor South China Morning Post.
Daerah itu, yang terletak di kaki bukit Himalaya dan menempatkan kurang daripada 15,000 penduduk, bergantung kepada Huang, 24, untuk memastikan komuniti terus terhubung.
Pada Ogos 2024, perkhidmatan penghantaran makanan Alibaba, Taobao Shangou, tiba di Medog, menjadikannya satu-satunya ‘rider’ penghantaran sepenuh masa di daerah itu sejak diperkenalkan oleh seorang rakan.
Dilahirkan di wilayah Sichuan, Huang mendedahkan, dia sentiasa terpesona dengan keindahan Tibet dan memulakan kerja penghantaran dengan bantuan pengurus stesen penghantaran di Nyingchi.
Difahamkan, dia mengunjungi lebih 300 perniagaan tempatan untuk mempromosikan perkhidmatan itu dan menyediakan menu mereka di platform Taobao Shangou.
Dengan menunggang motosikal dan memakai uniform oren, Huang menghantar sehingga 200 pesanan sehari, jauh melebihi jumlah biasa penghantar makanan di bandar besar China yang mengendalikan 40 hingga 60 pesanan sehari.
Huang berkata, musim hujan yang panjang dan jalan gunung yang kasar sering menyebabkan dia tergelincir, memerlukan banyak masa dan wang untuk penyelenggaraan kenderaannya.
Walaupun menghadapi cabaran, Huang menikmati kerjanya, menggambarkannya sebagai sumber kebebasan dan kegembiraan setiap kali menerima pesanan baharu.
Pada masa lapang, dia menunggang motosikal untuk meneroka air terjun dan gunung bersalji dan terbiasa dengan kesepian, yang digambarkannya sebagai ‘sesuatu yang lahir dengannya’.
Selain menghantar pesanan, Huang turut mengurus stesen penghantaran, operasi perniagaan dan kadang-kadang menjadi pengantara dalam pertikaian tempatan.
Huang kini menjadi figura terkenal dalam kalangan peniaga makanan di Medog, dengan seorang penghantar makanan sambilan baharu menyertai untuk membantunya.
Difahamkan, dia juga merancang untuk menetap di Dali, Yunnan, selepas menyimpan cukup wang, dan kisahnya sudah meraih lebih dua juta tontonan di media sosial tanah besar China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




