H: Kisah tragis Hind Rajab di layar perak mulai Khamis ini
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my
Foto Shahril Badri Saali
Kuala Lumpur: Malaysia membuktikan solidariti terhadap Palestin apabila menjadi salah sebuah daripada 20 negara di dunia yang bakal menayangkan filem The Voice of Hind Rajab di 20 pawagam GSC terpilih bermula esok.
Tayangan filem merakamkan detik memilukan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Hind Rajab yang terkorban akibat kekejaman tentera rejim Zionis itu dibuat melalui kerjasama Primeworks Studios (PWS).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan PWS, Nini Yusof berkata, usaha membawa masuk naskhah ini bermula selepas dia melihat impak besar karya itu di peringkat global.
“Apabila melihat klip bahawa filem ini menerima tepukan gemuruh paling lama di Festival Filem Venice, saya memberitahu dua rakan sekerja untuk cari di seluruh dunia sesiapa sahaja yang mempunyai filem itu supaya kita boleh menayangkannya di Malaysia.
“Alhamdulillah, kita berjaya mendapatkan hak penyiaran kerana banyak kali filem sebegini tidak mendapat suara di dunia atas sebab-sebab yang sangat jelas.
“Jadi, kami berharap rakyat Malaysia yang sangat lantang dalam sokongan terhadap Gaza benar-benar memainkan peranan mereka,” katanya pada majlis tayangan perdana filem The Voice of Hind Rajab di GSC Midvalley Megamall, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali, CEO Media Prima Audio (MPA) Nazri Noran dan Naib Presiden 1 Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), Prof Dr Shalimar Abdullah.
Hadir sama, tiga suara utama kempen, iaitu Zainal Rashid Ahmad, Ahmad Fedtri Yahya dan Uyaina Arshad.
Sementara itu, Zainal Rashid yang juga aktivis kemanusiaan menjelaskan bukan mudah untuk sesebuah negara mendapat akses tayangan filem ini kerana kekangan pihak tertentu.
“Hanya sekitar 20 buah negara sahaja yang membenarkan filem ini ditayangkan daripada 200 buah negara.
“Tak mudah untuk diakses kerana kita kekurangan organisasi di dunia yang mahu memberi tiket kepada filem yang menyuarakan mengenai Palestin,” katanya.
Filem ini bukan cereka, tetapi berdasarkan rakaman sebenar panggilan kecemasan Hind yang menghubungi Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin selepas terperangkap dalam kereta dengan dikelilingi kereta kebal tentera Israel pada 29 Januari 2024.
Di hujung talian itu, Hind menceritakan kedudukannya, siapa yang bersamanya, keadaan kereta yang ditembusi tembakan dan kereta kebal yang semakin menghampiri.
Naskhah arahan Kaouther Ben Hania ini memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Festival Filem Venice 2025 serta tersenarai dalam kelompok Top 15 kategori Filem Antarabangsa Terbaik di Anugerah Oscar Ke-98.
Karya ini turut mendapat sokongan nama besar Hollywood seperti Brad Pitt dan Joaquin Phoenix yang bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Usaha mempromosi The Voice of Hind Rajab turut digerakkan menerusi kempen Hind Rajab: Suara Terakhir hasil kerjasama strategik bersama MERCY Malaysia.
Ia juga mendapat sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang menyeru empati dan kesedaran.
Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima menyumbangkan RM1 bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
© New Straits Times Press (M) Bhd




