KUALA LUMPUR – Kekuatan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pelbagai aspek membuatkan Skuad Penyu hanya bergantung nasib dalam perlawanan akhir Piala FA malam esok.
Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berkata, kelebihan yang ada pada pemain Harimau Selatan itu mengatasi kemampuan anak buahnya dari aspek kepantasan, fizikal dan pengalaman.
“Kita harapkan nasib untuk menang sebab JDT ada semuanya (kekuatan) yang lebih dari kita. Banyak pemain JDT yang kita perlu jaga dan sebenarnya perkara itu memang susah kita nak jaga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 44 tahun itu yakin anak buahnya mampu menjulang piala kerana ia tidak memberikan tekanan buat pasukannya setelah sasaran ke perlawanan akhir tercapai.
“Kita boleh menang jika pemain berikan fokus setiap minit kerana kita bermain untuk menikmati permainan. Tiada tekanan sebab matlamat kita untuk sampai ke peringkat akhir sudah tercapai, cuma kita hanya perlu cuba dapatkan piala,” ujarnya.
Pengendali kelahiran Kelantan itu menjelaskan, kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi bagi mencatatkan sejarah selepas kali terakhir menjulang piala keramat itu pada 11 tahun lalu.
Tambah Nafuzi, bayangan untuk kesebelasan utama menentang JDT esok masih belum ditentukan memandangkan komitmen tinggi yang diberikan anak buahnya.
“Memilih 11 pemain itu adalah perkara yang senang tetapi untuk memahami perasaan mereka yang pastinya kecewa jika tidak dipilih adalah sukar buat saya kerana kesemua mereka memberikan komitmen yang tinggi,” ulasnya.
Selepas dua tahun menyepi, Stadium Nasional Bukit Jalil kembali rancak berikutan aksi final Piala FA 2022 membabitkan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC. – MalaysiaGazette




