Walaupun kontroversi rumah tangga pelakon, Fattah Amin masih hangat diperkatakan, namun rezeki aktor ini nampaknya semakin murah.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fattah kelihatan tampil mempromosikan produk makanan popular, Pak Mat Western dan sehingga kini video pendek tesebut telahpun mencecah lebih 1 juta tontonan sejak ia dimuat naik.
“Tindakan saya mungkin mengejutkan rakyat Malaysia,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam video berdurasi lima minit itu, Fattah selaku bos menyembunyikan identiti sebenar dan kelihatan turun padang serta menyamar sebagai pekerja harian bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan dan produk syarikat miliknya termasuklah membersihkan meja dan menghantar daging perap sejuk beku kepada pelanggan.
Malah, lebih mencuri perhatian, Fattah dilihat sempat menitipkan pesanan kepada pekerjanya tentang makna merendah diri.
“Kita ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Lagipun pangkat dan kemasyhuran ini semua tidak akan kekal lama,” katanya.
Bahkan, menjengah ke ruangan komen rata-rata warganet beranggapan kata-kata yang dilontarkan itu mempunyai maksud yang mendalam.



Terdahulu, nama pelakon filem KL Special Force ini mula menjadi bualan hangat selepas isterinya yang juga seorang pelakon wanita popular, Fazura dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadapnya pada 13 September lalu.
Bagaimanapun, pada 25 September kes permohonan cerai pasangan selebriti itu telah ditangguhkan pada 7 Oktober 2024.




