Kita kini di penghujung fasa dividen demografi

Kita kini di penghujung fasa dividen demografi

BELANJAWAN 2025 menggariskan beberapa inisiatif dan pendekatan responsif dalam menangani isu dan cabaran yang dihadapi warga emas di Malaysia. Ini termasuk peningkatan peruntukan khusus untuk bantuan tunai, pemindahan simpanan antara generasi serta agenda perlindungan sosial yang lain. Namun, pelan jangka panjang lebih strategik perlu dibangunkan segera supaya Malaysia tidak terlambat untuk mendepani fenomena masyarakat menua yang dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi, sistem penjagaan kesihatan dan struktur sosial negara.

Fenomena ini berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia. Menariknya, proses penuaan masyarakat ini adalah senario yang belum pernah dialami sebelumnya dan apabila ia berlaku, fenomena ini tidak dapat diputar kembali. Namun, perubahan demografi ini sesuatu yang boleh dijangka. Maka, kita boleh mengambil langkah proaktif dengan membangunkan pelan yang terancang serta menyeluruh sebelum terlambat. Terdapat tiga cabaran utama yang boleh dijadikan asas pembangunan dasar yang lebih menyeluruh dalam menghadapi fenomena masyarakat menua ini.

Tenaga buruh mengecil

Cabaran pertama adalah penyusutan jumlah tenaga buruh, iaitu individu yang berada dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun. Senario ini berlaku apabila jangkaan usia meningkat, diiringi penurunan kadar kelahiran dan kematian yang lebih rendah. Malaysia masih berada dalam keadaan yang agak menguntungkan kerana cabaran ini belum berlaku sepenuhnya. Negara masih menikmati dividen demografi apabila masih mencatatkan peningkatan jumlah tenaga buruh, selari pertambahan jumlah penduduk.

Namun, kita kini berada di penghujung fasa dividen demografi, dan langkah progresif perlu diambil bagi menangani cabaran lebih besar yang menanti di hadapan. Sasaran yang telah ditetapkan kerajaan melalui Kerangka Ekonomi Madani untuk meningkatkan jumlah penyertaan wanita dalam pasaran buruh kepada 60 peratus adalah langkah wajar dalam usaha mengembangkan saiz tenaga buruh negara. Namun, cabaran yang dihadapi oleh wanita untuk bekerja perlu diperhalusi dan disantuni dengan baik. Sekiranya ini berjaya dilakukan, penyusutan jumlah tenaga buruh akibat fenomena masyarakat menua boleh ditangani sekali gus mengurangkan kesannya kepada pembangunan negara.

Bekerja di usia tua

Cabaran kedua adalah keperluan warga emas untuk terus bekerja, sama ada bagi menyara kehidupan atau memenuhi keperluan sosial demi kekal aktif. Bekerja pada usia tua seharusnya dapat dielakkan sekiranya mempunyai jaminan kewangan mencukupi. Namun, hanya segelintir pekerja, termasuk penjawat awam yang mempunyai jaminan pendapatan selepas bersara melalui manfaat skim pencen. Bagi mereka yang perlu mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan membina simpanan persaraan sendiri, masih terdapat ramai yang tidak mempunyai dana mencukupi.

Di samping itu, pasaran kerja memerlukan intervensi dinamik dan bersesuaian untuk membolehkan mereka yang berusia kembali bekerja. Peluang pekerjaan fleksibel, ruang meningkatkan kemahiran yang luas serta gaji setimpal antara perkara asas menjadi harapan warga emas untuk terus bekerja demi meniti kehidupan di hujung usia. Peranan kerajaan bagi memastikan pasaran kerja mampu menerima dan menyerap pekerja berusia ini amat signifikan supaya kumpulan ini tidak terasing dalam arus pembangunan, selain boleh mengurangkan beban tanggungan penjagaan mereka.

Penjagaan warga emas

Cabaran ketiga, yang juga cabaran terbesar, adalah keperluan penjagaan warga emas. Malaysia membangunkan beberapa dasar utama bagi memastikan kesejahteraan kumpulan ini terjamin, walaupun ada jurang dalam fokus yang digariskan tersebut. Kelompongan ini, sedikit sebanyak, telah diisi melalui penumpuan khusus yang terdapat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 berkaitan kesejahteraan warga emas. Antara lain, termasuk mengenai penjagaan dan sokongan kepada warga emas, meningkatkan profesion penjaga, rangka tindakan masyarakat menua, memperkukuh program penjagaan kesihatan warga emas, menggalakkan kehidupan yang aktif dan sihat melalui sukan, memperbanyak pusat penjagaan geriatrik, pembangunan perumahan inklusif untuk manfaat warga emas dan sebagainya.

Dalam Belanjawan 2025 ini misalnya, kerajaan memperuntukkan RM1.0 bilion untuk warga emas. Komitmen kerajaanmenyantuni warga emas amat jelas namun fokus dan kaedah intervensi perlu dipelbagaikan lagi untuk memastikan lebih ramai warga emas mendapat faedahnya.

Memahami cabarandaripada fenomena masyarakat menua ini penting dalam merangka dasar dan intervensi yang berkesan. Pelan Tindakan Masyarakat Menua perlu dilaksana supaya kita tidak terlambat dalam memastikan warga emas di Malaysia mendapat pembelaan, penjagaan dan penghormatan yang sewajarnya.

Penulis penyelidik di Khazanah Research Institute

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top