Malaysia masih menunggu jawapan daripada kerajaan Indonesia berhubung tawaran menyediakan aset bagi membantu memadamkan kebakaran hutan yang menyumbang kepada jerebu berpanjangan di negara ini.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, surat berkaitan penyediaan aset berkenaan telah dihantar, manakala perkembangan lanjut dijangka diketahui selepas Mesyuarat Kabinet esok.
“Sebarang perkembangan baharu akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atau Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam lawatan itu, Fahmi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di DUN Sarawak, Petra Jaya.
Terdahulu, Malaysia secara rasmi menawarkan bantuan aset serta pegawai dan anggota kepada Indonesia pada bulan lalu bagi menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, terutama di Sarawak.

Tawaran berkenaan diperincikan Ahmad Zahid ketika bertemu Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, melibatkan antaranya sebuah pesawat Bombardier, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota.
Negara berdepan jerebu rentas sempadan sejak pertengahan Ogos lalu susulan kebakaran hutan di beberapa wilayah negara jiran.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memantau kandungan dalam talian berhubung isu tersebut.
Menurut beliau, setakat ini pihak suruhanjaya belum menerima aduan orang ramai mengenai kandungan berkaitan jerebu yang ditafsirkan sebagai jelik melampau sehingga boleh menjejaskan keharmonian hubungan kedua-dua negara.
“MCMC sentiasa memantau kandungan berkaitan isu itu yang dikhuatiri melampau.
“Kita tahu dan faham, rakyat marah, kita pun marah tentang masalah jerebu yang seperti tidak berkesudahan,” tambahnya lagi.
Sumber: Berita Harian (Mohd Roji Kawi)




