Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meluahkan rasa syukur susulan kepulangan bekas ketuanya, Khairy Jamaluddin ke pangkuan parti.
“Alhamdulillah, kita menyatupadukan bukan memecahbelahkan,” katanya ringkas sebagai maklum balas terhadap perkembangan tersebut.

Kenyataan itu hadir selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima surat rayuan Khairy untuk kembali menyertai parti pada malam ke-26 Ramadan.
Menurut Dr Muhamad Akmal, perkembangan itu dilihat sebagai kemenangan kepada semangat penyatuan orang Melayu, selari dengan usaha menghimpunkan kembali tokoh-tokoh yang pernah terpisah daripada UMNO.

Beliau yang sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk menerima semula pemimpin yang pernah disingkirkan menegaskan kekuatan UMNO terletak pada keupayaan parti untuk menyatukan semula ahli yang masih setia dan percaya kepada perjuangannya.
Sejak menerajui sayap Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal juga sering menekankan bahawa pintu “Rumah Bangsa” sentiasa terbuka kepada mana-mana individu yang mahu memperkukuh parti tanpa melemahkan kepimpinan sedia ada.
Artikel lain: Tak minta kembali atas hajat peribadi, cukup diberi peluang jadi anak kapal biasa – KJ
Kehadiran Khairy sebagai pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini turut dilihat sebagai hasil usaha diplomasi awal bagi memujuk semula pemimpin yang pernah disingkirkan daripada parti.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkongsi mengenai permohonan rayuan Khairy untuk kembali menyertai UMNO menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Khairy pada malam ke-26 Ramadan itu sebagai antara makna sebenar inisiatif “Rumah Bangsa”, yang bertujuan menemukan semula yang pernah berpisah serta menghimpunkan kembali ahli-ahli UMNO dalam satu keluarga besar perjuangan.
Sumber: FB Akmal Saleh



