Kita mesti menghentikan penceroboh,' Zelensky memberitahu Biden

Kita mesti menghentikan penceroboh,' Zelensky memberitahu Biden

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semalam menggesa Russia yang digelarnya sebagai penceroboh supaya berhenti, ketika beliau bercakap menerusi panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenai pencerobohan Moscow.

“Baru saja bercakap dengan Presiden AS. Kepemimpinan Amerika dan sekatan anti-Russia serta bantuan pertahanan kepada Ukraine dibincangkan.

“Kita mesti hentikan penceroboh secepat mungkin,” katanya di Twitter.

Menurut Rumah Putih, pemimpin berkenaan bercakap lebih 30 minit dan berbincang mengenai peningkatan serangan ke atas kawasan orang awam oleh Russia, termasuk pengeboman menara televisyen utama Kyiv berhampiran tapak memorial holocaust Babi Yar semalam.

Lebih 30,000 orang Yahudi disembelih tentera Nazi ketika Perang Dunia Kedua dekat gaung Babi Yar.

Tragedi itu dikenang dengan pembinaan patung peringatan dan menjadi tapak ziarah bagi kebanyakan orang Yahudi.

Dalam tragedi semalam, sebanyak lima orang terbunuh dan pegawai Ukraine mendakwa Moscow melakukan ancaman ke atas memorial terbabit.

Panggilan telefon dibuat pada hari keenam pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dengan keganasan didakwa sedang meningkat di Kyiv dan timur bandar Kharkiv.

“Presiden Biden menyatakan bantuan berterusan AS untuk Ukraine termasuk penghantaran berterusan bantuan keselamatan, sokongan ekonomi dan bantuan kemanusiaan,” kata Rumah Putih. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top