Keutamaan PAS ketika ini adalah memastikan Perikatan Nasional (PN) kembali kukuh susulan kemelut dalaman yang masih belum berkesudahan, termasuk isu pelantikan pengerusi baharu serta pergolakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Selamatkan PN dulu!
Menurut laporan Utusan Malaysia, presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, usaha memperkukuh gabungan itu amat penting sekiranya PN serius mahu merampas tampuk pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Foto arkib: Bernama
Beliau berkata, perkara lain termasuk spekulasi mengenai kemungkinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen BERSATU menyertai parti lain masih belum dibincangkan.
“Itu terpulang kepada dia (Hamzah). Yang penting kita hendak menyelamatkan PN dahulu kerana PAS berpendapat kita hendak memerintah negara mesti melibatkan semua pihak,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang hari ini.
Artikel lain: PN masih bergolak? Mursyidul Am saran lebih baik PAS bergerak solo
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan PAS telah mengenal pasti individu yang bakal dicalonkan bagi mengisi jawatan Pengerusi PN, dengan keputusan akhir akan diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu tetap dengan pendirian untuk menerajui PN dan nama calon pengerusi akan diumumkan pada Ahad ini.
Foto arkib: Bernama
Pengumuman tersebut dijangka dibuat menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN.
Sumber: Utusan Malaysia (Mohd Shariza Abdullah)




