Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menzahirkan rasa syukur apabila Malaysia dilihat masih mampu bertahan dengan baik dalam mendepani krisis tenaga dunia ketika ini.
Beliau berkata, pengumuman kerajaan berhubung langkah terkini menangani situasi tersebut diterima dengan penuh keinsafan, selain mengingatkan rakyat supaya terus bersyukur dengan pelbagai nikmat yang masih dinikmati negara.
Foto arkib: FB YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Menurutnya, pemerhatian mendapati ramai rakyat menunjukkan sikap rasional serta memahami cabaran semasa yang dihadapi kerajaan dalam menguruskan krisis berkenaan.
“Menerima pengumuman kerajaan dengan penuh keinsafan mengenai langkah terkini mendepani krisis tenaga dunia. Alhamdulillah, pemerhatian saya mendapati ramai sebenarnya yang rasional dan memahami situasi semasa.
“Tidak kurang juga yang mendoakan dan memberikan sokongan pada waktu sukar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Zulkifli berkata, pendekatan Malaysia dalam mengurus isu tenaga turut mendapat perhatian rakan-rakan di luar negara yang menyatakan kekaguman terhadap langkah diambil kerajaan.
Foto arkib: FB YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Katanya, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang turut berdepan tekanan akibat krisis tenaga global, Malaysia masih menikmati pelbagai kelebihan termasuk pemberian subsidi tenaga kepada rakyat.
“Sahabat-sahabat luar negara juga menyatakan kekaguman mereka terhadap pendekatan Malaysia menangani krisis ini dengan begitu baik.
“Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain, alhamdulillah Malaysia masih menikmati pelbagai nikmat dan kelebihan termasuk subsidi tenaga,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat supaya terus merafakkan kesyukuran serta memperkukuh perpaduan dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, dalam keadaan yang mencabar ini semua pihak perlu bersatu hati, berfikiran rasional dan mengutamakan kepentingan bersama berbanding kepentingan peribadi.
Zulkifli turut menggesa masyarakat agar terus menyebarkan perkara baik dan positif bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terus terpelihara.
“Dalam keadaan sukar dan mencabar ini, kita semua perlu bersatu hati, berfikir dengan rasional, dan mengutamakan kemaslahatan umum bukan peribadi. Terus sebarkan kebaikan,” kata Zulkifli.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95), daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Foto: MyKOM
Bagaimanapun, beliau menegaskan harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada kadar RM1.99 seliter.
Anwar turut berharap rakyat dapat memahami langkah pelarasan sementara itu yang menurutnya akan dilaksanakan sehingga keadaan pasaran minyak, bekalan global dan ekonomi dunia kembali stabil.
Sumber: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hasan




