Industri pelancongan antara tonggak utama ekonomi Malaysia yang telah lama menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan serta keterlihatan negara di pentas antarabangsa.
Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, fenomena yang menarik perhatian ialah kecenderungan rakyat Malaysia memilih Thailand sebagai destinasi percutian utama. Data rasmi menunjukkan rakyat Malaysia penyumbang terbesar kepada kedatangan pelancong ke Thailand.
Pada 2024 4.6 juta rakyat Malaysia melancong ke Thailand, menjadikan Malaysia pengunjung kedua tertinggi ke negara jiran itu selepas China.
Thailand berjaya menarik sekitar 32.4 juta pelancong antarabangsa pada 2024. Fakta ini memberi isyarat jelas bahawa Thailand konsisten dan agresif dalam mempromosikan pelancongannya. Oleh itu, Malaysia perlu mengenal pasti faktor serta tindakan dalam menawan semula hati pelancong tempatan.
Faktor pertama yang sering disebut ialah harga yang kompetitif. Ramai pelancong Malaysia berpendapat kos makanan, penginapan dan aktiviti pelancongan di Thailand adalah lebih murah berbanding di Malaysia. Hotel bajet hingga sederhana pula menawarkan kemudahan yang baik dengan harga berpatutan.
Selain harga, faktor kedua iaitu kepelbagaian produk pelancongan juga menjadi tarikan. Thailand terkenal dengan kekuatan budaya tempatan, pasar malam yang meriah, pengalaman membeli-belah yang pelbagai, festival tradisional serta pantai tropika yang menarik. Faktor ketiga yang tidak boleh diketepikan ialah hospitaliti dan pemasaran agresif oleh pihak berkuasa pelancongan Thailand. Tourism Authority of Thailand (TAT) telah lama terkenal dengan kempen yang kreatif dan konsisten, misalnya slogan ‘Amazing Thailand’ yang digunakan sejak lebih dua dekad lalu.
Malah, kesungguhan Thailand menarik pelancong Muslim amat ketara dengan peningkatan restoran halal, hotel mesra Muslim dan surau di lokasi strategik.
Situasi ini menuntut Malaysia untuk melakukan penambahbaikan yang perlu. Walaupun negara kaya dengan destinasi semula jadi seperti pulau, gunung, hutan hujan tropika serta kepelbagaian budaya, masih banyak isu yang perlu dilihat dalam sektor pelancongan domestik.
Antara cabaran utama ialah kos yang dianggap tinggi. Harga makanan di kawasan pelancongan popular sering dilaporkan tidak berpatutan. Begitu juga dengan kadar bilik hotel, yang kadangkala meningkat secara mendadak pada musim cuti sekolah atau cuti umum.
Selain itu, tiket penerbangan ke Langkawi atau Kota Kinabalu lebih tinggi berbanding destinasi ke Thailand seperti penerbangan ke Bangkok pada masa waktu perayaan atau puncak.
Isu kedua, pengurusan infrastruktur pelancongan. Walaupun Malaysia mempunyai lapangan terbang antarabangsa bertaraf dunia, masih ada rungutan tentang akses jalan raya, pengangkutan awam serta kebersihan kawasan pelancongan.
Selain itu, Malaysia juga dilihat kurang konsisten daripada segi strategi pemasaran antarabangsa dan domestik berbanding Thailand. Walaupun Tourism Malaysia giat mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia, pendekatan ini lebih banyak diberikan kepada menarik pelancong asing, sedangkan pelancong domestik kurang diberi perhatian. Bagi menawan semula pelancong domestik, Malaysia perlu melaksanakan beberapa langkah strategik.
Pertama, menawarkan harga yang berpatutan dan telus. Malaysia perlu menurunkan kos pelancongan domestik. Kerajaan boleh bekerjasama dengan syarikat penerbangan bajet dan pengusaha hotel untuk menawarkan pakej pelancongan berpatutan seperti penerbangan dan penginapan pada harga yang berpatutan.
Dengan kos kompetitif, destinasi domestik seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka boleh menyaingi Thailand. Pengenalan mekanisme kawalan harga di lokasi tumpuan pelancong wajar dipertimbangkan agar tidak wujud jurang besar antara kos melancong dengan Thailand.
Kedua, Malaysia perlu memastikan pengalaman pelancong yang konsisten dan berkualiti. Latihan perkhidmatan pelanggan yang mesra dan profesional perlu diberikan kepada pekerja industri pelancongan. Destinasi domestik juga perlu menawarkan pelbagai aktiviti seperti festival makanan, sukan air atau lawatan budaya.
Ketiga, inovasi dalam pemasaran pelancongan domestik sangat penting. Promosi pelancongan domestik Malaysia walaupun disokong oleh kempen seperti Cuti-Cuti Malaysia, perlu lebih agresif. Kempen pemasaran Thailand menggunakan media sosial, pempengaruh dan platform digital untuk mempromosikan tarikan seperti pasar malam Hat Yai atau festival budaya.
Sebaliknya, banyak pelancong Malaysia tidak mengetahui tarikan baharu di destinasi domestik seperti ekopelancongan di Taman Negara atau warisan budaya di dalam negara.
Promosi pelancongan dalam negara perlu memberi insentif kepada rakyat Malaysia misalnya diskaun khas untuk tiket penerbangan domestik, baucar hotel atau potongan harga di taman tema dan muzium.
Secara keseluruhannya, kejayaan Thailand menarik jutaan pelancong Malaysia perlu dijadikan isyarat penting negara perlu lebih strategik dan berdaya saing dalam memperkasa pelancongan domestik. Malaysia memiliki aset semula jadi, warisan budaya serta kepelbagaian produk pelancongan yang tidak kurang hebatnya.
Justeru, pendekatan bersepadu antara kerajaan, penggiat industri dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan pelancongan domestik kembali menjadi pilihan utama rakyat.
Penulis Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




