ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dalam suasana bola sepak negara yang penuh cabaran, isu pelantikan jurulatih baharu untuk skuad kebangsaan kembali menjadi perbincangan hangat.
Antara nama disebut-sebut ialah Peter Cklamovski, bekas jurulatih Bawah 17 Tahun (B-17) pasukan Australia dan kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan FC Tokyo serta rakan senegaranya, John Hutchinson.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini dalam fasa transformasi besar-besaran termasuk struktur organisasi dan hala tuju pembangunan bola sepak negara, disebabkan itu pelantikan jurulatih baharu mesti selari dengan visi ini.
“Jurulatih yang dipilih mesti berkelayakan dari segi ilmu, teruji dalam situasi sebenar dan mempunyai rekod membawa pasukan ke kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Kita perlukan seseorang seperti Shin Tae Yong (jurulatih skuad kebangsaan Indonesia), yang berjaya membawa Korea Selatan ke Piala Dunia dan membuktikan keberkesanannya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Beliau turut menekankan pentingnya jurulatih memahami budaya Asia Tenggara dan cabaran unik yang dihadapi di rantau ini.
“Bola sepak mungkin menggunakan bahasa universal, tetapi jurulatih perlu faham budaya kita.
“Jika tidak, dia mungkin bergaduh dengan pihak tertentu atau gagal menangani tekanan,” katanya.
Ujar beliau, jurulatih asing yang pernah berkhidmat di Malaysia seperti Brad Maloney dan Kim Pan-gon juga perlu menjadi rujukan dalam perbincangan ini kerana ada yang merasakan mereka tidak cukup teruji sebelum diberi tanggungjawab besar.
“Jurulatih bukan sekadar datang untuk mencari pengalaman.
“Kita perlukan seseorang yang sudah ada formula kejayaan yang terbukti, bukan eksperimen lagi,” tambahnya.
Dengan persaingan bola sepak yang semakin sengit di peringkat serantau, pemilihan jurulatih tepat bukan sahaja penting untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan, malah memastikan kelangsungan pembangunan bola sepak negara.
Semalam Arena Metro melaporkan Hutchinson turut dicanang sebagai calon mengisi kerusi panas itu.
Hutchinson, 45, adalah pengendali interim Yokohama F Marinos di liga utama Jepun sejak Julai lalu selepas menggantikan Harry Kewell yang tidak disambung kontrak.
Menurut sumber, Hutchinson turut berada dalam pertimbangan bagi menggantikan Pau Marti Vicente yang akan melepaskan jawatannya sebaik saingan Piala Asean berakhir, awal Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd